Sorting by

×

Guna duit i-Sinar beli dadah

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

KRUBONG 24 Mac – Dua penagih dadah tergamak menggunakan sebahagian wang daripada permohonan i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk membeli bekalan dadah.

Pengakuan dua penagih lelaki itu dikesan selepas ditahan dalam Ops Perdana Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Melaka, di Krubong, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, dalam operasi selama empat jam bermula 2.30 petang itu seramai tujuh penagih dadah ditahan.

“Antara yang ditahan adalah dua lelaki berusia 33 dan 36 tahun yang mengaku ada menggunakan sebahagian wang Akaun 1  i- Sinar untuk membeli dadah.

“Jadi kita juga tidak menolak kemungkinan ada yang ditahan sebelum ini juga menggunakan wang KWSP i-Sinar untuk membeli dadah berdasarkan kes tangkapan yang semakin meningkat kebelakangan ini,” katanya.

RAHMAD (kiri) bertanyakan sesuatu kepada tahanan dalam Ops Perdana AADK, di Krubong, hari ini.
FOTO: Siti Salehah

Beliau berkata demikian pada sidang media Selepas Ops Perdana AADK Melaka yang turut dihadiri Pengarah AADK negeri Nazir Mohamad dan Penolong Pengarah Cawangan Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK negeri Norliya Darus, hari ini.

Menurut beliau, turut ditahan dalam operasi itu lelaki berusia 49 tahun yang baru sahaja keluar penjara dua minggu lalu.

“Dia sebelum ini ditahan atas kesalahan orang dikehendaki membabitkan kes dadah dan hari ini sekali lagi ditahan,” katanya.

Mengulas lanjut, Rahmad berkata, dalam tempoh hanya empat hari AADK berjaya menahan 72 individu yang mana 71 daripadanya didapati positif dadah.

“Kesemua mereka ditahan antara 20 hingga 24 Mac (hari ini) dan walaupun baru empat hari lokasi sama diserbu serta dibersihkan oleh AADK bersama polis namun masih ada tangkapan dibuat.

“Selain itu sejak Januari hingga hari ini seramai 240 individu ditahan dan daripada jumlah itu 233 didapati positif, kesemua mereka ini berusia antara 13 hingga 60-an.

“Kesemua mereka termasuk dua wanita disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1364
Kongsi :
Previous post Abang polis payung warga emas ketika hujan terima penghargaan
Next post Kapal tangki pendaftaran Tanzania ditahan tiada insurans
Ubah saiz-+=