Guna beg pakaian seludup dadah RM1 juta

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

KUALA LINGGI 25 Mei – Satu sindiket dikesan menggunakan beg pakaian untuk menyeludup keluar 26 kilogram (kg) dadah disyaki syabu bernilai lebih RM1 juta ke negara jiran.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Melaka & Negeri Sembilan, Kepten Maritim Iskandar Ishak berkata, rampasan itu adalah hasil operasi dijalankan di pantai Kampung Tumbuk, Tanjung Sepat, Selangor jam 10 malam 23 Mei lalu.

Beliau berkata, terdahulu sebuah bot bersama lima anggota dikerahkan ke perairan berkenaan selepas pihaknya menerima maklumat berhubung aktiviti mencurigakan.

BEG Pakaian digunakan untuk menyeludup dadah bernilai lebih RM1 juta. Foto Hasbullah Azhar

“Hasil pemantauan anggota operasi menemui beg pakaian warna kelabu di tebing pantai berkenaan, selepas pemeriksaan lanjut kami menemui 26 bungkusan plastik mengandungi hablur kristal yang disyaki dadah jenis syabu.

“Beg berkenaan dipercayai baru saja ditinggalkan ‘transpoter’ darat di lokasi itu sebelum diambil oleh transpoter laut yang kemudian akan membawa bekalan dadah berkenaan ke lokasi seterusnya dipercayai di negara jiran.

“Kedudukan tebing berkenaan dan gigi air sangat rapat, membolehkan bot merapat dengan mudah untuk mengambil beg berkenaan seterusnya beredar dari lokasi,” katanya pada sidang media di Pejabat Maritim Malaysia Melaka & Negeri Sembilan, di sini, hari ini.

Iskandar berkata, pemantauan sekitar perairan itu pihaknya tidak mengesan sebarang pergerakan bot atau individu yang mencurigakan.

Dia tidak menolak kemungkinan dadah berkenaan adalah untuk pasaran luar Malaysia berikutan harga bahan terlarang itu mencecah RM100,000 hingga RM200,000 satu kg di negara jiran.

ISKANDAR menunjukkan peta lokasi dadah dirampas. Foto Hasbullah Azhar

“Setiap bungkusan yang dirampas seberat satu kg dan dadah ini boleh menampung bekalan untuk kegunaan 56,000 orang penagih.

“Mereka ini adalah rangkaian penyeludup terancang, dalam kes sebelum ini ada bahan cuba diseludup disembunyikan dalam semak,” katanya.

Menurutnya, barang kes diserahkan kepada pegawai penyiasat dan siasatan dilakukan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Pihak kami amat mengharapkan kerjasama komuniti maritim dalam usaha membanteras jenayah di laut, sebarang maklumat berhubung aktiviti mencurigakan boleh disalurkan menerusi talian Pusat Operasi Maritim 06-3876730 atau 999 yang beroperasi 24 jam,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1419
Kongsi :
Previous post Sheng Yi nama anak ketiga pasangan panda
Next post Sembilan jam bersihkan tumpahan kimia kemalangan treler
Ubah saiz-+=