GUNA BAHAN TERBUANG CIPTA ‘DAPILA’
LENDU 29 Oktober – Minat mendalam terhadap reka cipta produk inovasi mendorong Harith Irsyad Hussin, 11, menghasilkan Dam Piramid Makanan dan Laptop Abjad (DAPILA) menggunakan bahan terbuang.
Inovasi itu antara mencuri tumpuan pada Pertandingan Pitching Inovation sempena Minggu Sains Negara (MSN) Peringkat Negeri Melaka 2024 berlangsung di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka Kampus Lendu, di sini.
Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pulai Merlimau ini berkata, dia bersama beberapa rakan mengambil masa sebulan untuk menyiapkan sepenuhnya produk inovasi berkenaan.
“Bermodalkan RM40, kami gunakan bahan terbuang seperti kotak dan botol air mineral, manakala bahan lain kami beli di kedai buku seperti kad manila, kertas warna serta pembalut hadiah.
“Pada mulanya kami berasa kurang yakin dan risau usaha ini tidak menjadi, namun hasil bimbingan guru selain kesepatan semua pihak kami sahut cabaran untuk menyertai pertandingan ini.
“Produk inovasi ini sesuai bagi kegunaan murid prasekolah, pendidikan khas dan aliran perdana,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini.
Sementara itu, Guru Pembimbing, Norlinda Hassan berharap usaha itu mampu menyuntik semangat anak-anak muridnya dalam penghasilan lebih banyak produk inovasi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.