Gudang jijik dipenuhi najis kucing ditutup 14 hari
JASIN 21 April – Kotor, berbau busuk dan dipenuhi najis kucing, itu keadaan sebuah gudang penyimpanan barang sebuah pasar raya beroperasi di daerah ini ketika pemeriksaan mengejut penguat kuasa Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dalam Op Raya 2022, semalam.
Akibat keadaan kebersihan yang tidak memuaskan pemilik gudang diarahkan memberhentikan dan menutup premis itu selama 14 hari bermula hari ini bagi kerja pembersihan.
EXCO Kesihatan negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata pemilik premis berkenaan juga dikenakan kompaun maksimum mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983.
“Saya memberi amaran kepada semua premis menjual makanan, paling mengejutkan dan mengecewakan hari ini…makanan dijual bukan saja hampir tamat tempoh atau disimpan tidak betul, tetapi diletakkan bersama dengan najis haiwan yang mana najis haiwan itu sudah kering.
“Jadi kita akan keluarkan kompaun kepada pemilik pasar raya ini, gudang penyimpanan barang mereka ditutup dan tiada aktiviti keluar atau masuk barang…hanya premis menjual barang makanan saja dibenarkan operasi.
“Kita akan kenakan kompaun paling maksimum untuk berikan pengajaran kepada peniaga,” katanya pada sidang media selepas mengetuai pemeriksaan itu.
Menurutnya, sepanjang Op Raya 2022 bermula 11 April lalu dan berakhir semalam, JKN mengeluarkan lima kompaun bernilai RM15,000 telah terhadap pemilik premis sekitar negeri ini yang dikesan melakukan kesalahan.
“Kompaun itu melibatkan tujuh pasar mini dan pasar raya, hasil serbuan dijalankan sebanyak 104 barangan makanan bernilai RM515.83 disita atas pelbagai kesalahan seperti pembungkusan, pelabelan dan tamat tarikh luput.
“Manakala sejak Jan hingga bulan ini kita telah menyita sebanyak 790 barang makanan bernilai RM4,743.47 dengan 13 kompuan bernilai RM38,500 dikeluarkan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.