
GUBAL AKTA, BANTERAS PENJUALAN MINYAK ENJIN TIRUAN
TANGGA BATU 20 Mac – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menggubal perintah baharu Akta Perihal Dagangan 2011 [Akta 730] bagi membanteras serta membendung aktiviti pernjualan produk minyak enjin kenderaan motor tiruan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, perintah digubal melalui Seksyen 29, Akta 730 adalah sebagai punca kuasa melantik SIRIM QAS International Sdn Bhd sebagai pihak berkuasa berwibawa memperakukan dan mengeluarkan label pematuhan produk.
“Perintah itu diwartakan pada 11 Oktober 2024 yang lalu dan akan berkuatkuasa pada 7 April ini. Bermula tarikh kuas kuasa, semua produk minyak kenderaan motor yang dipasarkan perlu memiliki label pematuhan yang diperakukan SIRIM QAS.
“Objektif utama penggubalan perintah ini adalah untuk melindungi kepentingan pengguna dan industri iaitu syarikat pengeluar minyak enjin motor,” katanya selepas menghadiri program Penguat Kuasaan Perintah Dagangan (Perakuan dan Penadaan Minyak Enjin bagi kenderaan motor) 2024 di Petronas Melaka Lube Blending Plant Kawasan Perindustrian Tangga Batu, di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Setiausaha KPDN (Pembangunan Perdagangan Dalam Negeri), Datuk Roziah Abudin; Pengerusi SIRIM QAS International Sdn Bhd, Datuk Omar Shariff Mydeen; serta Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas Lubricants International Sdn Bhd, Khalil Muri.
Menurutnya, perintah baharu itu juga membolehkan pengguna mengenal pasti penjualan minyak enjin kenderaan motor yang tulen, sekali gus membendung penjualan produk tiruan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.