Guangxi komited jalin usahasama bangunkan pelancongan Melaka
CHINA 6 Disember – Wilayah Autonomi Guangxi di selatan China menyambut baik usaha mengukuhkan hubungan dua hala bersama Melaka untuk menjalin kerjasama dalam membangunkan sektor pelancongan di negeri ini.
Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, misi mempromosi dan membina kerjasama antara dua pihak hampir mencapai matlamatnya menerusi Misi Mempromosi Pelancongan dan Pelaburan Melaka di wilayah itu sejak 5 hingga 7 Disember ini.
Menurut beliau, selain sektor pelancongan, kepimpinan wilayah itu turut menunjukkan minat kepada Melaka bagi bersama-sama membangunkan pelaburan negeri ini yang akan membawa manfaat ekonomi setempat.
“Misi ini dijalankan dengan tujuan utama untuk mempromosikan dan membina kerjasama dalam sektor pelancongan dan pelaburan antara Negeri Melaka dan Wilayah Guangxi dan ia bertepatan dengan inisiatif Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) iaitu meningkatkan pelaburan dan kedatangan pelancong dari Negara China di samping mengembangkan potensi pelancongan di antara dua destinasi.
“Perbincangan tentang pembangunan pelancongan dua hala menjadi tumpuan utama, dengan kedua-dua pihak menyuarakan komitmen untuk meningkatkan hubungan dan pertukaran budaya antara Melaka dan Guangxi.
“Timbalan Gabenor Wilayah Guangxi, Miao Qing Wang menunjukkan minat serius terhadap usaha kerjasama ini. Misi ini juga menyoroti peluang pelaburan di Melaka, khususnya dalam sektor pelancongan, yang dapat memberi manfaat ekonomi kepada kedua-dua pihak,” katanya menerusi hantarannya di Facebook, hari ini.
Dalam laman Facebook rasminya itu, Abdul Razak menyertai delegasi Melaka ke Misi Promosi Pelancongan dan Pelaburan di wilayah itu yang diketuai Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Kunjungan delgasi itu adalah susulan lawatan kerja Miao Qing Wang ke negeri ini pada 19 Oktober lalu.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.