
GTP JADI PUSAT PEMINDAHAN TEKNOLOGI JERMAN
BEMBAN 28 Februari – Langkah awal telah dimulakan Kerajaan Negeri bagi menjadikan kawasan Taman Teknologi Jerman (GTP) sebagai Pusat Kecemerlangan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang memfokuskan kepada pemindahan teknologi dari Jerman.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, sebagai langkah pemasaran awal, Kerajaan Negeri amat menggalakkan kepada syarikat-syarikat dari Jerman yang bertapak di Asia Tenggara untuk menjadikan Melaka sebagai hab melahirkan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran tinggi.
Jelas beliau, GTP bakal memberi tumpuan kepada pelbagai industri yang berasaskan penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta dijangka menjadi platform utama bagi inovasi dan teknologi di Melaka.
“Kita mahu menjadikan Melaka sebagai pusat latihan dan pusat kecemerlangan TVET peringkat kebangsaan memandangkan negeri ini telah diiktiraf oleh Kerajaan Persekutuan.
“Maka, kita berhasrat menerusi pembangunan GTP ini, ia menjadi lokasi pemindahan teknologi dari Jerman dan seterusnya dapat menarik lebih ramai pelabur datang ke Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Taman Teknologi Jerman (GTP) di Kawasan Bandar Hijau, Mukim Ayer Panas, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri Datuk Khaidhirah Abu Zahar serta barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Melaka (MCORP) Datuk Mohd Yusof Abu Bakar; Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid; Timbalan Pengarah Eksekutif Malaysian German Chamber Of Commerce (MGCC) Tara Meite serta lain-lain kenamaan.
Sementara itu, Ab Rauf dalam ucapannya berkata, kemajuan yang dimiliki Jerman dalam sektor pembuatan dan teknologi tinggi menjadi inspirasi kepada Kerajaan Negeri dalam membangunkan GTP.
Ujar beliau, melihat kepada kejayaan mengagumkan yang dimiliki negara tersebut, Melaka mahu membawa kepakaran dan teknologi yang dimiliki ke bumi bersejarah ini, sekali gus dapat meningkatkan daya saing industri Melaka di peringkat global.
“Kerjasama antara Kerajaan Negeri dan syarikat-syarikat Jerman ini merupakan manifestasi usaha untuk menarik lebih banyak pelaburan sekali gus memajukan sektor perindustrian di negeri ini.
“Saya optimis, pembangunan Taman Teknologi Jerman ini akan menjadi pemangkin utama dalam merancakkan kemasukan pelaburan dan memperkukuh sektor perindustrian, sekali gus meningkatkan ekosistem sosio-ekonomi Melaka sebagai destinasi utama pelaburan industri berimpak tinggi,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.