Graduan TVET mencorak masa hadapan negara
BATU BERENDAM 10 Oktober – Graduan Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu diberikan tempat serta peluang pekerjaan dalam sektor awam dan swasta.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, graduan TVET memiliki pelbagai kemahiran yang boleh membantu pembangunan negara pada masa hadapan.
“Bidang kemahiran ini sangat penting dalam Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) dan saya rasa mereka ini (pelajar bidang kemahiran) sangat kreatif selain berinovasi. Justeru, Kerajaan Negeri berharap supaya mereka (pelajar) ini mendapat atau diberikan peluang mengisi jawatan-jawatan di sektor awam atau swasta.
“Namun jika tidak mendapat jawatan diharapkan, graduan ini masih boleh berusaha sendiri kerana mereka mempunyai kemahiran yang pelbagai,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Pusat Pembangunan Kemahiran Perindustrian dan Keusahawan Melaka (MISDEC) Open Day 2023 ‘Spark A Change’ di MISDEC, di sini, hari ini.
Hadir sama Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Salhah Salleh; Pengarah Eksekutif MISDEC, Haiqal Syukri Jantan dan lain-lain kenamaan.
Dalam pada itu, Rahmad turut mengajak belia berminat untuk melanjutkan pengajian mereka di MISDEC.
“Apa yang membanggakan saya MISDEC telah melahirkan banyak ramai graduan TVET yang mana mereka ini telah dan akan mencorak masa depan negara.
“Jadi, saya galakkan para pelajar untuk masuk MISDEC kerana pembelajaran di sini percuma, tempoh masa kursus ditawarkan juga tidak lama, biarpun singkat namun kemahiran yang akan diperoleh sangat bermanfaat,” katanya.
Pada hari terbuka itu, pelbagai aktiviti diadakan seperti pertandingan inovasi green tech, pertandingan ‘electro pheunamatic’, 10 KM volts run, ‘game on PUBG’ kategori pendidikan dan lain-lain.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.