Sorting by

×

Graduan jangan pilih kerja, kejar pengalaman

Masa Membaca:2 Minit, 19 Saat

BEMBAN 23 Dis – Lepasan graduan yang masih menganggur dinasihatkan jangan memilih kerja, sebaliknya perlu mencari pengalaman walaupun dalam bidang berbeza.

Bagi graduan lulusan Undang-Undang, Muhammad Asyraf Amir Hamzah, 26 berkata, pengalaman perlu menjadi perkara asas untuk para graduan maju ke hadapan.

Dia yang merupakan graduan lepasan Universiti Utara Malaysia (UUM) bersedia untuk bertukar ‘angin’ menceburi bidang lain bagi memastikan pengalaman yang berkualiti dapat dimanfaatkan untuk masa depannya.

Muhammad Asyraf Amir Hamzah, 26. Foto: MR. Azli

“Kalau ikutkan peluang pekerjaan itu memang kurang tapi yang keluar (berhenti) pula ramai dan itu yang susah sikit sekarang.

“Kita perlu mulakan langkah pertama dan perlu bekerja di mana sahaja untuk menstabilkan diri dan selepas itu perlu merancang masa hadapan kerana pengalaman itu yang paling penting.

“Sebagai graduan kita perlu cuba dahulu baru fikir kemudian sebab kita tidak pasti bagaimana dan perlu bersedia kerana pengalaman yang dicari itu perlu bermula dari bawah,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Dia yang menetap di Jasin merupakan antara peserta yang mencari peluang pekerjaan dalam Mini Karnival Kerjaya 3 Daerah Peringkat Negeri Melaka di Mydin Jasin, di sini hari ini.

Tinjauan MHI mendapati, lebih 200 peserta pada awalnya telah memenuhi kawasan itu bagi mendapatkan 940 kekosongan dari 10 agensi swasta dan kerajaan di karnival tersebut.

Sementara itu, seorang graduan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam, Izzah Syafiqah Abdul Wahab, 24, menjadikan karnival itu sebagai tempat untuknya mencari peluang pekerjaan baharu yang berdekatan dengan tempat tinggalnya di Bemban.

Izzah Syafiqah Abdul Wahab, 22. Foto: MR. Azli

Pelajar lepasan Seni Reka dan Grafik itu berkata, walaupun terpaksa beralih bidang lain, dia tetap bersedia untuk menerima apa jua peluang yang diberikan majikan dalam karnival tersebut.

“Saya terpaksa berhenti sebab nak jaga emak di rumah dan mengharapkan terdapat pekerjaan yang dekat dengan rumah saya.

“Saya akan cuba segala yang ada dan mungkin akan beralih kepada bidang pentadbiran kerana di sini ada menawarkan pekerjaan itu.

“Sekarang semua perlu mencari pekerjaan berikutan kita baru melepasi pasca penularan COVID-19, jadi ramai perlu datang ke karnival ini kerana banyak peluang ditawarkan buat graduan seperti kami,” katanya.

Sementara itu, seorang graduan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Alif Adly Rosli, 25 berharap karnival yang diadakan itu mampu menawarkannya pekerjaan tetap berikutan sebelum ini dia hanya berstatus pekerja kontrak di sebuah syarikat di Krubong selama tiga bulan.

“Dalam jumlah kekosongan yang ada itu saya harap mungkin salah satu pekerjaan akan saya dapat dan berharap dapat kerja lebih lama dalam satu syarikat yang dipohon.

“Program yang diadakan seperti ini wajar diteruskan pada tahun akan datang agar graduan dan pencari pekerjaan dapat memanfaatkan peluang yang ada bagi meneruskan kelangsungan hidup dalam era pasca COVID-19,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1674
Kongsi :
Previous post Guna wang palsu beli kucing Parsi, suami isteri dihadapkan ke mahkamah
Next post Karnival Kerjaya Melaka: 6,050 sudah dapat kerja setakat Nov
Ubah saiz-+=