Gomez, Adriano sedia ‘sengat’ Tok Gajah
DUA tonggak penyerang import baharu Kelab Bola Sepak Melaka United (MUFC), Giovane Gomes da Silva dan Adriano Aparecido Narcizo diyakini mampu menjadi senjata ampuh untuk membenam Sri Pahang FC di Stadium Darul Makmur, 25 Julai ini.
Ketua Jurulatih, Zainal Abidin Hassan berkata, walaupun baru dua bulan menyertai skuad Hang Tuah, kedua-dua pemain menunjukkan kualiti diperlukan di barisan serangan.
Jelasnya, persefahaman mereka dengan pemain lain juga positif, sekali gus diyakini mampu memantapkan MUFC bagi mengharungi baki saingan Liga Super musim 2021.
“Bagi saya, Adriano dan Gomez sememangnya telah memberi sengat kepada MUFC dan saya yakin mereka menambah kekuatan pasukan bagi menghadapi perlawanan akan datang.
“Walaupun dalam tempoh singkat mereka dapat membentuk persefahaman dengan rakan sepasukan dan kini tampak makin serasi.
“Saya berharap apa yang mereka tunjukkan dalam sesi latihan dapat diterjemahkan dalam aksi di atas padang nanti,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Mengulas kem latihan berpusat 2.0 ketika ini, Zainal memaklumkan, masa yang ada akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk memperbaiki segala kelemahan yang dikenal pasti.
Selain itu, katanya, tempoh lebih seminggu itu juga akan digunakan untuk membentuk keserasian antara pemain bagi membolehkan MUFC mendapatkan keputusan lebih baik dalam baki perlawanan musim ini.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.