Sorting by

×

Golongan profesional dua negara ‘tuang emosi’ dalam Kembara Penyair Ikhtisas

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

AYER KEROH 5 Ogos – Program Pelancaran dan Bual Bicara Buku Kembara Penyair Ikhtisas (KPI) menyaksikan himpunan karya puisi bidang profesional antara dua negara.

Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka, Ezlina Alias berkata himpunan puisi dalam buku KPI itu ditulis oleh penyair terkenal tanah air negara dan Indonesia.

Katanya, antara penyair yang juga penulis puisi buku KPI yang hadir dalam program terbabit seperti Datuk Prof Emeritus Dr Hashim Yaacob; Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman; Datuk Dr Mohd Radzuan Ibrahim dan Sastry Bakri dari Indonesia.

“Program ini merupakan satu langkah memelihara seni sastera di mana buku KPI yang dilancarkan pada hari ini adalah hasil pengamatan dari golongan profesional mengenai bidang masing-masing (ikhtisas).

“Turut  hadir hari ini lebih 150 pelajar-pelajar sekolah dari bidang Sastera dalam Melaka.

“Apa yang ingin ditonjolkan adalah seni sastera itu bukan buat golongan bawahan, malahan menerusi program hari ini dakwaan yang sering didengar golongan profesional dan sastera ibarat minyak dan air dapat ditepis,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui selepas program terbabit.

Dalam pada itu, Hashim yang juga Editor KPI memaklumkan, buku KPI terbabit merangkumi 124 puisi yang dikarang oleh tujuh penyairi termasuk dirinya.

Dalam ucapan ringkasnya pada majlis tersebut beliau memaklumkan beliau mahu membuktikan bahawa darah seni sastera juga ada dalam golongan profesional.

“Kesemua tujuh penyair yang mengarang bait-bait puisi dalam buku ini merupakan golongan profesional.

“Kembara Penyair Ikhtisas mengisahkan pengamatan setiap penyair mengenai bidang masing-masing dan menerusi program seumpama ini pada akan datang mampu memelihara seni sastera pada masa akan datang,” katanya.

Antara penulis syair buku KPI dari golongan profesional negara termasuk Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Seri Zaini Ujang; Pengerusi Kumpulan UMW Holdings Berhad, Tan Sri Hamad  Kama Piah Che Othman dan Datuk Prof Emeritus Dr Hashim Yaacob yang pernah menjadi  Naib Canselor (Rektor) di lima universiti termasuk Universiti Malaya (UM).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1440
Kongsi :
Previous post Kesedaran Orang Asli miliki MyKad meningkat melalui MEKAR
Next post Beli ayam segar dapat diskaun RM2
Ubah saiz-+=