
GOLONGAN MEMERLUKAN TURUT DISANTUNI
TANJUNG BIDARA 16 Februari – Selain kemeriahan penganjuran acara sukan, Karnival Sukan Dua Jiwa Satu Hati dan Sukan Antara Badan Beruniform Piala Ketua Menteri Melaka Tahun 2025 turut menyelitkan program kemasyarakatan berupa penyampaian sumbangan kepada golongan tumpuan.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, sebanyak lima sumbangan telah disalurkan bagi meringankan beban mereka yang memerlukan.
Jelas beliau, sumbangan dalam bidang pendidikan antara yang diberi tumpuan seperti sumbangan kepada 52 orang anak Melaka dari Parlimen Masjid Tanah yang bakal menyambung pengajian peringkat Diploma dan Ijazah menerusi Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM).
Jelasnya, ia melibatkan keseluruhan peruntukan berjumlah RM27,400.
“Selain itu, turut disampaikan sumbangan Kembali Ke Sekolah kepada seramai 200 penerima dengan keseluruhan peruntukan berjumlah RM30,000.
“Tidak ketinggalan, sumbangan Tahun Baru Cina kepada 100 orang penerima melibatkan keseluruhan peruntukan sebanyak RM10,000 dan engagihan Bantuan Persediaan Ramadan dan Fidyah sebanyak RM193,550 yang memberi manfaat kepada 342 orang asnaf fakir dan miskin dari DUN Tanjung Bidara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutup Karnival Sukan Dua Jiwa Satu Hati dan Sukan Antara Badan Beruniform Piala Ketua Menteri Melaka Tahun 2025 di Pantai Tanjung Bidara, di sini, hari ini.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta Yang Dipertua MPAG TPr. Saifuddin Abdul Karim.
Yang turut hadir, Panglima 3 Divisyen Mejar Jeneral Dato’ Mohamad Suria Mohamad Saad; Asisten Ketua Staf Bahagian Operasi Latihan dan Pertahanan, Markas Angkatan Tentera Malaysia, Mejar Jeneral Datuk Indera Zahari Mohd Ariffin; Asisten Ketua Staf Operasi dan Latihan Tentera Darat Mejar Jeneral Dato’ Rashidin Hashimi Ab Rashid; Panglima-Panglima Formasi; Pegawai-Pegawai Kanan serta ketua-ketua jabatan dan agensi.
Mengulas lanjut, Ab Rauf memaklumkan, selain Kerajaan Negeri, Badan Amal Kebajikan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Negeri Melaka (BISTARI) bersama Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) turut tidak ketinggalan menghulurkan sumbangan kepada anak-anak istimewa.
Jelas beliau, sumbangan itu disampaikan kepada 32 penerima di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Ummi, Kem Terendak pada 8 Februari yang lalu.
“Besar harapan semoga dengan bantuan sumbangan ini dapat meringankan beban anggota keluarga tentera sekali gus mencerminkan keprihatinan kerajaan negeri melalui BISTARI dan BAKAT untuk terus membantu mereka yang memerlukan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.