
GOLONGAN MEMERLUKAN PARLIMEN JASIN TERIMA SUMBANGAN RAMADAN
MERLIMAU 14 Mac – Golongan memerlukan terus mendapat perhatian apabila sumbangan berjumlah RM15,000 beserta kit Ramadan disalurkan kepada 150 penerima di dalam Parlimen Jasin, hari ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, bantuan disampaikan bertujuan meringankan beban perbelanjaan penerima sepanjang bulan Ramadan yang penuh keberkatan.
“Alhamdulillah, Kerajaan Negeri berbesar hati menyampaikan sumbangan kepada 150 penerima. Semoga ia dapat membantu mereka dalam menjalani ibadah puasa dengan lebih selesa.
“Saban tahun, Kerajaan Negeri cakna dalam memperincikan setiap bantuan dan sumbangan khusus buat golongan tumpuan di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sumbangan Bantuan Ramadan dan Berbuka Puasa Peringkat Parlimen Jasin di Masjid Asy-Syuja’ah Merlimau di sini, hari ini.
Hadir sama Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh; Timbalan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri merangkap Adun Sungai Rambai Siti Faizah Abd Azis dan Adun Rim Datuk Khaidhirah Abu Zahar.
Ab Rauf turut menegaskan bahawa Kerajaan Negeri akan terus memperincikan setiap bantuan agar golongan sasar menerima manfaat sewajarnya, khususnya dalam bulan mulia ini.
“Saya menyeru rakyat Melaka untuk bersama-sama menghulurkan bantuan kepada golongan yang kurang bernasib baik.
“Percayalah dalam rezeki kita, terdapat juga rezeki insan lain yang perlu dikongsi bersama. Saya berharap lebih ramai pihak tampil membantu mereka yang memerlukan tanpa mengira bangsa dan agama,” ujarnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.