Sorting by

×

Golongan B40 paling ramai terjebak dadah di Melaka

Masa Membaca:2 Minit, 0 Saat

RIM 26 Feb. – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Melaka mengenal pasti individu yang paling ramai terlibat najis dadah di negeri ini terdiri dalam kalangan golongan B40.

Pengarah AADK Melaka Nazir Mohamad berkata, daripada 1,675 orang kena pengawasan (OKP) yang mendapatkan rawatan dan pemulihan setakat Februari 2021, lebih 50 peratus daripadanya daripada keluarga berpendapatan rendah, termasuk tidak mempunyai pekerjaan tetap.

Katanya, berdasarkan maklumat yang diterima ada dalam kalangan OKP mengakui tertekan dengan kemiskinan sehingga mendorong mereka mengambil dadah.

“Sebenarnya, kemungkinannya ada dua, sama ada tertekan disebabkan kemiskinan, atau disebabkan dadah mereka menjadi miskin. Itu trend yang kita terima.

NAZIR menjelaskan golongan B40 paling ramai terjebak najis dadah di Melaka.

“Kebanyakan klien kita atau OKP memang ramai dalam kalangan B40. Sebab itulah bila melaksanakan satu-satu program, kita perlu melihat bagaimana cara untuk membantu mereka memandangkan ada di antara mereka merupakan pencari nafkah dalam keluarga.

“Jadi, sebab itulah kita mengharapkan bantuan daripada pelbagai agensi untuk membantu golongan ini. Jika tidak dibantu, kita risau ia akan menyebabkan berlakunya pelbagai isu lain di kemudian hari,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Program Sentuhan Prihatin sempena Peringatan Hari Antidadah Kebangsaan 2021, di sini, hari ini, yang turut dihadiri Pegawai Daerah Jasin Datuk Anis Ali Hasan.

Dalam program tersebut, pihak Pejabat Tanah dan Daerah Jasin bersama AADK Melaka telah mengunjungi ke lima rumah klien dan bekas klien AADK bagi menghulurkan bantuan pek makanan.

AHMAD(bukan nama sebenar)…insaf dan bertekad tidak mengambil dadah selepas ini.

Seorang klien AADK, Ahmad (bukan nama sebenar), 34, mengakui bersyukur dengan segala bentuk bantuan diberikan AADK Melaka dalam usaha membantunya keluar daripada gejala ketagihan dadah.

Dia yang baru terjebak penagihan dadah kerana terpengaruh dengan ajakan rakan telah ditangkap AADK Melaka di rumahnya pada Oktober tahun lalu dan kini masih di bawah pengawasan agensi itu.

Katanya, selepas ditahan dua hari di lokap dan melihat sendiri kepayahan isterinya yang sarat mengandung mencari wang ikat jamin, membuatkan dia insaf dan bertekad tidak mengulangi kesalahan itu.

“Sekarang saya sudah bekerja dan tidak pernah lagi ‘sentuh’ barang terlarang itu. Seluruh masa saya kini hanyalah untuk isteri dan anak-anak.

“Kepada penagih di luar sana, saya berharap anda semua dapat bertaubat dan kembali ke pangkal jalan. Janganlah tunggu sehingga anda hilang segala-galanya baru hendak menyesal,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

465
Kongsi :
Previous post Sidang DUN boleh dilaksanakan bila-bila masa – Sulaiman
Next post Pensyarah Politeknik Merlimau didenda RM36,000 buat tuntutan palsu
Ubah saiz-+=