Sorting by

×

GILAP PEWARIS SENI LAYANG-LAYANG

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

KLEBANG 18 September – Permainan dalam talian menggunakan gajet dan telefon pintar yang menjadi kegilaan anak muda seluruh dunia ketika ini menyebabkan sukan tradisional semakin sepi serta jarang diamalkan.

Usaha memperkenalkan permainan tradisional seperti penganjuran festival layang-layang, di Klebang Street, baru-baru ini diharap mampu membuka mata dan menarik minat orang muda untuk aktif dalam sukan itu yang diketagorikan sebagai warisan tidak ketara.

Sukan ini bukan sekadar menerbangkan layang-layang di udara, sebaliknya ia adalah gabungan antara penguasaan kemahiran dan seni serta medan menzahirkan kreativiti menawarkan 1,001 kepuasan kepada pelayang.

Whatsapp Image 2024 09 18 At 1.12.58 Pm
ABD Rahim.

Presiden Majlis Pelayang Malaysia (MPM), Datuk Abd Rahim Nin berkata, pihaknya turut melaksanakan pelbagai inisiatif antaranya bengkel pembuatan wau tradisional dan festival layang-layang di seluruh negara.

Abd Rahim yang juga Yang Dipertua Persatuan Pelayang Johor berkata, menerusi inisiatif tersebut peserta juga diberikan pendedahan mengenai budaya dan warisan permainan layang-layang setiap negeri.

“Permainan layang-layang atau wau ini sebenarnya dapat memperkenalkan identiti warisan dan budaya sesebuah negeri atau negara kepada masyarakat di pelbagai peringkat secara lebih meluas.

“Sebagai contoh, di Kelantan ada Wau Bulan, di Pahang ada Wau Pungguk dan banyak lagi jenis wau atau layang-layang yang menampilkan identiti negeri,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Whatsapp Image 2024 09 17 At 3.10.15 Pm
PELBAGAI jenis layang-layang memeriahkan Karnival Usahawan@Festival Layang-Layang Antarabangsa Negeri Melaka 2024 di Klebang Street.

Mengulas lanjut Abd Rahim berkata bengkel yang dikendali MPM sering mendapat sambutan positif daripada peserta, khusus dalam kalangan pelajar sekolah dan penuntut Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Jelasnya, bengkel yang dianjur juga membuka jalan kepada peserta untuk menjana pendapatan lumayan kerana wau atau layang-layang memiliki nilai seni tinggi boleh mencecah harga ribuan ringgit.

“Saya harap misi dan visi menerusi pelbagai kaedah untuk memelihara permainan layang-layang ini dapat diteruskan pada masa hadapan.

“Seperti penganjuran di Festival Layang-Layang Antarabangsa Melaka 2024, ramai pengunjung saya lihat teruja apabila mereka hadir membawa anak-anak, semoga festival ini dapat menjadi pemangkin dalam menjaga warisan budaya kita,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

113
Kongsi :
Previous post POLIS BERKAS WANITA TAWAR PELABURAN KUTU TIDAK WUJUD
Next post PASUKAN PERUBATAN PERIBADI AGONG RAWAT DUA MANGSA KEMALANGAN
Ubah saiz-+=