Gilap bakat si cilik
BANDARAYA MELAKA 6 Oktober – Kejohanan Bolasepak Perpaduan Bawah 10 Tahun Piala YB Timbalan Menteri Belia dan Sukan berjaya menggilap potensi bakat cilik dalam sukan nombor satu negara itu.
Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka Khairul Adri Rosli berkata, kejohanan itu menjadi medan terbaik untuk bakat muda berusia bawah 10 tahun membuktikan kehebatan mereka di atas padang.
Katanya, pertandingan yang berlangsung di Padang A Stadium Hang Tuah itu menampilkan format juara setiap kumpulan akan bermain di perlawanan akhir, manakala naib juara pasukan akan beraksi bagi merebut tempat ketiga dan keempat.
“Di akhir kejohanan, Akademi Tunas (AT) Melaka Tengah dinobat johan kejohanan selepas menewaskan Durian Tunggal FC dengan jaringan 2-0 di perlawanan akhir.
“Manakala tempat ketiga disandang AT Jasin yang menewaskan CIMB Melaka Junior dengan jaringan 6-0,” katanya.
Menurut Khairul Adri, kejohanan julung kali diadakan itu disertai 10 pasukan seluruh negeri.
Katanya, kejohanan itu turut menampilkan pasukan seperti KR7 Football Club, AT Wanita Melaka U12, Lagenda FC, AT Alor Gajah, AT Masjid Tanah dan Kiow Min FC.
“Semoga pada masa akan datang, kejohanan sebegini akan menarik lebih banyak penyertaan dan bakal melahirkan lebih ramai bakat baharu yang boleh diketengahkan ke peringkat lebih tinggi,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.