Gigit isteri, ugut bunuh anak tiri pekerja kontrak dipenjara 7 bulan
KUALA LUMPUR, 7 Mac – Seorang pekerja kontrak binaan warga Indonesia dipenjara tujuh bulan oleh Mahkamah Majistret Selayang di sini hari ini, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mencederakan isterinya sehingga luka di tangan serta lengan.
Majistret Nur Hafizah Rajuni menjatuhkan hukuman itu ke atas Samhaji, 48, kerana memukul, menendang dan menggigit  isterinya berumur 41 tahun di rumah mereka di Pangsapuri Dahlia Jalan Desa, Bandar Country Homes Rawang, pada 12 tengah hari, 13 Feb lepas.
Pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda boleh sampai RM2,000 atau kedua-duanya.
Sementara itu di hadapan Majistret Nik Fadli Nik Azlan, tertuduh dihukum penjara enam bulan atas pertuduhan ugutan membunuh sehingga mendatangkan ketakutan kepada anak tirinya berumur 21 tahun, serta penjara tiga bulan kerana masuk ke negara ini tanpa permit yang sah di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di lokasi, tarikh dan masa yang sama mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara boleh sampai tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.
Bagaimanapun, kesemua hukuman itu diarahkan berjalan secara serentak dari tarikh tertuduh ditangkap pada 3 Mac lepas, dan lelaki itu perlu menjalani hukuman penjara selama tujuh bulan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Khairunnisak Hassni dan TPR Wan Nur Iman Wan Ahmad Afzal, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.