Gigih naik bas ke Melaka, usaha Muiz berbaloi
AYER KEROH 17 Julai – Pengalaman beraksi di Sukan SEA 2023 Kemboja baru-baru ini digunakan sebaiknya buat atlet petanque negara, Muhammad Muiz Ezham Mohd Rizan apabila mengungguli Kejohanan Petanque Single Terbuka Sirkit Remaja Kebangsaan Siri 4/2023.
Muhammad Muiz Ezham, 16, diumumkan sebagai johan kejohanan selepas mengumpul 13 mata dalam perlawanan pada pusingan akhir yang mengambil masa selama 30 minit.
Menurutnya, meskipun mempunyai kelebihan pernah mewakili negara namun dia tetap memberikan tumpuan penuh kerana sedikit kesilapan boleh memberi peluang kepada pihak lawan.
“Jujurnya memang saya sasarkan untuk menjadi johan pada kejohanan ini dan akhirnya ia dapat dicapai.
“Untuk siri sirkit, ini pertandingan kali kedua saya sertai selepas siri pertama di Kuala Lumpur, (dan) boleh katakan juga berbaloi meskipun datang sendiri menaiki bas ke Melaka ia membuahkan hasil,” katanya.
Pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ibrahim 1, Pasir Mas, Kelantan itu ditemui pada penutup Kejohanan Petanque Single Terbuka Sirkit Remaja Kebangsaan Siri 4/2023 yang berlangsung di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perempuan Melayu, Durian Daun, semalam.
Menurutnya, dia juga kini giat mempersiapkan diri menjelang Sukan Malaysia (SUKMA) 2024, Sarawak tahun hadapan.
“Untuk tahun ini akan ada beberapa lagi pertandingan yang akan saya sertai memandangkan tahun hadapan agak getir sedikit kerana saya perlu fokus kepada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) selain SUKMA Sarawak 2024,” katanya.
Sementara itu, bagi naib johan kejohanan itu, Paulo Christiano Junior Wong Mean Yoong, 14, berkata, kemenangan ini adalah pencapaian tertingginya sejak terbabit dalam sukan petanque lebih setahun lalu.
“Ini adalah pencapaian tertinggi saya kerana pertandingan ini adalah peringkat kebangsaan dan ramai mereka yang hebat.
“Ketika layak ke pertandingan akhirpun ia sudah mengembirakan.
“Dengan pencapaian ini saya harap ia akan menjadi pemangkin untuk saya terus memberikan aksi terbaik dalam setiap kejohanan sekaligus menaikkan nama Melaka dalam sukan petanque,” katanya yang bersekolah di SMK Malim.
Terdahulu, pada kejohanan itu seramai 176 peserta termasuk 78 perempuan bagi kategori bawah 16 tahun dari 12 negeri antaranya Panjang, Perak, Terengganu, Labuan dan Sabah mengambil bahagian.
Majlis perasmian penutup dan penyampaian hadiah disempurnakan Penolong Pengarah Unit Pembangunan Bakat Murid, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.