GIATMARA siapkan 19 rumah PPRT
LENDU 6 Mac – GIATMARA sudah membelanjakan RM4.18 juta bagi membina 19 rumah berkonsep Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di negeri ini tahun lalu.
Rumah yang ke-19 dibina November lalu sebelum disiapkan hujung Januari 2021 dan diserahkan kepada pemiliknya, Zainudin Yusof, 69, hari ini.
Pengarah GIATMARA Melaka, Khairuddin Hashim berkata, peruntukan berkenaan diterima daripada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), khusus untuk membantu golongan B40 memiliki kediaman sendiri yang lebih selesa.
“KPLB melalui GIATMARA memperuntukkan RM4.18 juta untuk membina 19 rumah PPRT, selain RM13,000 untuk membaik pulih 252 rumah di negeri ini sepanjang tahun lalu.
“Bagi tahun ini, kita menyenaraikan beberapa rumah untuk dibina, selain yang dibaik pulih dan sedang menunggu peruntukan daripada KPLB,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan replika kunci rumah itu oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali kepada Zainudin di Kampung Durian Daun Barat, di sini.
Hadir sama, Ketua Penolong Pengarah KPLB Cawangan Melaka, Mohd Faizal Musa.
Sementara itu, Zainudin berkata, beliau amat bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada kerajaan kerana sudi membantunya mendapatkan kediaman yang selesa.
Katanya, rumah itu bukan setakat menyediakan ruang lebih luas buat dia dan isteri serta anak lelaki berusia 11 tahun, malah dilengkapi tiga bilik dan dapur yang memuaskan.
“Alhamdulillah, rumah baharu ini jauh lebih memuaskan berbanding rumah sewa yang bukan setakat sempit, malah sudah uzur terutama pada bumbung,” katanya.
Warga emas itu mempunyai tujuh anak dengan isteri pertama dan seorang anak lelaki dengan isteri kedua sekarang, Rubiaton Talan, 38.
Tujuh anaknya sudah berumah tangga dan tinggal di tempat lain manakala Zainudin sekarang mencari rezeki dengan menjual pisang goreng di pekan Lendu, dekat sini.
Katanya, beliau mengemukakan permohonan mendapatkan rumah itu beberapa tahun lalu berdasarkan sekeping tanah pusaka diberikan arwah ibunya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.