Gesa segerakan gencatan senjata di Gaza

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

AYER KEROH 18 Oktober – Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) digesa bertindak segera dengan melaksanakan genjatan senjata bagi meredakan konflik antara Palestin dan Israel.

Yang di-Pertua negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam berkata, Amerika Syarikat (AS) yang mempunyai kuasa veto dalam penubuhan itu perlu memainkan peranan sebenar dan bukannya mendiamkan diri.

“Kita minta Majlis Keselamatan PBB bersidang dan melaksanakan gencatan senjata antara kedua-dua belah pihak, tetapi mereka tidak laksanakan, AS yang kuasai dunia dan ada kuasa veto juga tidak mampu hentikan konflik Israel dan Palestin, kenapa mereka tidak lakukan?

“Kita minta mereka laksanakan gencatan senjata agar bantuan-bantuan seperti perubatan, makanan dan sebagainya dapat dihantar,” tegasnya.

Beliau yang juga Presiden Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Forum Perang Palestin-Israel dan Pembebasan Masjid al-Aqsa di Universiti Geomatika Malaysia (GUC) di Bangunan Yayasan Belia Dunia, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi DMDI Malaysia, Datuk Md Nasir Ghani; Presiden Gerakan Belia 4B Malaysia, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali; Naib Pengerusi DMDI, Prof Emeritus Datuk Wira Dr. Mohd Jamil Mukmin dan Pengerusi Forum Perang Palestin Israel merangkap Pengerusi Serantau Muslim, Ustaz Mohd Hakim Mohd Nor.

Mengulas lanjut, Tun Mohd Ali berkata, AS perlu memainkan peranan asal negara itu untuk melebarkan misi kemanusiaan dan bukannya menggalakkan peperangan.

“Seperti dahulu, AS terkenal sebagai negara keamanan untuk melebarkan misi kemanusian tetapi hari ini sudah terbalik, kita dengar saja AS pasti akan hantar bom, hantar roket dan ini bukannya AS.

“Kita harap gencatan senjata dapat dilaksanakan, selepas itu kita secara globalnya akan bergerak dengan misi-misi bantuan lain. Ketika itu kita jamin pelbagai bantuan perubatan makanan dan sebagainya akan sampai untuk membantu golongan yang tidak bersalah ini.

“Allah jadikan kita sebagai manusia tanpa mengira agama dan bangsa untuk saling bekerjasama dan bantu membantu antara satu sama lain,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

879
Kongsi :
Previous post 9 resolusi tuntut hak Palestin
Next post DMDI kumpul RM50,000 bantu misi kemanusiaan Palestin
Ubah saiz-+=