Sorting by

×

Geran RM15,000 untuk usahawan MAIM terpilih

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

AYER KEROH 16 Ogos – Usahawan terpilih menyertai program Tunas Perintis Usahawan bakal menerima geran berjumlah RM15,000 daripada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

Setiausaha MAIM, Shaifulfazlee Mohamad berkata, program dianjurkan dengan kerjasama SME Corp itu mengalu-alukan penyertaan daripada semua usahawan muslim di Negeri Melaka.

Katanya, ini adalah peluang yang perlu direbut oleh usahawan khususnya golongan asnaf, kerana mereka akan dibimbing dan menerima suntikan modal bagi mengembangkan lagi perniagaan yang diusahakan.

“Antara syarat dan kelayakan permohonan adalah terbuka kepada mereka berusia 18 hingga 50 tahun, berniaga sekurang-kurangnya enam bulan dan berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

“Calon terpilih akan menjalani latihan ‘boot camp’ dikendalikan oleh SME Corp selama 14 hari yang dijadualkan pada Oktober atau November.

“Kemudian calon yang berjaya akan menerima suntikan geran daripada MAIM berjumlah RM15,000 seorang diikuti sesi ‘coaching’ berjalan selama setahun bermula Januari 2025,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurut Shaifulfazlee, permohonan dibuka hingga 31 Ogos dan apa yang menarik program Tunas Perintis Usahawan terbuka kepada semua jenis perniagaan.

“Kita turut menyediakan elaun kehadiran untuk peserta sepanjang 14 hari ‘boot camp’. MAIM sentiasa menyediakan peluang dan platform kepada golongan asnaf khususnya dalam membantu mereka meningkatkan taraf hidup, sekali gus keluar daripada garis kemiskininan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

792
Kongsi :
Previous post Pengurusan tanah industri cekap, tambah minat pelabur
Next post Bukti kerajaan prihatin, martabat peranan penjawat awam
Ubah saiz-+=