Gerakan koperasi terus relevan, pastikan anggota terbela – Ab Rauf

Masa Membaca:1 Minit, 52 Saat

BANDA HILIR 11 Jun – Agensi bertanggungjawab dalam pembangunan gerakan koperasi perlu berusaha untuk terus kekal relevan dan signifikan dalam memainkan peranan masing-masing.

EXCO Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata ia bagi memastikan sosio ekonomi melibatkan lebih 170,000 anggota koperasi terus terbela.

“Saya meminta kepada koperasi-koperasi seluruh negeri Melaka untuk memperkasakan diri dan meningkatkan daya saing agar dapat terus maju ke hadapan.

“Selain koperasi perlu merebut peluang ekonomi yang tersedia, bersatu padu dan saling bekerjasama membuat perubahan ke arah transformasi ekonomi negeri Melaka.

“Saya berharap Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Institut Koperasi Malaysia (IKMa) dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (ANGKASA) selaku agensi terlibat terus memainkan peranan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Koperasi Negara Peringkat Negeri Melaka 2022, mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali di pusat beli-belah Dataran Pahlawan Melaka Megamall (DPMM) di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Eksekutif SKM, Zazali Haron.

Pada majlis sama Ab Rauf, turut menyampaikan replika cek Bantuan Pembangunan Koperasi dan Pinjaman Tabung Modal Pusingan SKM (TPMSKM) berjumlah RM860,000 kepada 11 koperasi terlibat.

Selain itu beliau turut menyampaikan anugerah kepada tujuh koperasi yang mencapai prestasi cemerlang sebagai pengiktirafan atas usaha dilakukan.

” Diharapkan anugerah disampaikan menjadi pembakar semangat kepada warga koperasi untuk lebih berjaya, selain memberi kesedaran kepada orang ramai bahawa Gerakan Koperasi juga merupakan penyumbang keberkesan kepada ekonomi negara,” katanya.

Anugerah Tokoh Koperasi Peringkat Negeri Melaka Tahun 2022 dimenangi Marshitah Othman, Anugerah Koperasi Terbaik Peringkat Negeri Melaka Tahun 2022 dimenangi Koperasi Pegawai Kerajaan Negeri Melaka Berhad, Anugerah Koperasi Terbaik Bidang Keberhasilan Utama Ekonomi Peringkat Negeri Melaka Tahun 2022 dimenangi Koperasi Keluarga Haji Sharief Melaka Berhad dan Anugerah Koperasi Terbaik Bidang Keberhasilan Utama Ekonomi Peringkat Negeri Melaka Tahun 2022 Sektor Pemborong dan Peruncitan dimenangi Koperasi Kakitangan Penjara Melaka Berhad.

Sementara itu Anugerah Koperasi Terbaik Bidang Keberhasilan Utama Ekonomi Peringkat Negeri Melaka Tahun 2022 Sektor Perkhidmatan Kewangan dimenangi Koperasi Pegawai Kerajaan Negeri Melaka Berhad, Anugerah Koperasi Institut Pengajian Tinggi Terbaik Peringkat Negeri Melaka Tahun 2022 dimenangi Koperasi Politeknik Merlimau Melaka Berhad dan Anugerah Koperasi Sekolah Terbaik Peringkat Negeri Melaka Tahun 2022 dimenangi Koperasi Maktab Rendah Sains Mara Tun Ghafar Baba Melaka Berhad.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1789
Kongsi :
Previous post Pekerja restoran tular mohon maaf
Next post Malaysia harap jadi negara pertama perkenal undang-undang larangan merokok generasi muda
Ubah saiz-+=