Sorting by

×

Gerai jual belacan, cencaluk diserbu

Masa Membaca:1 Minit, 57 Saat

KLEBANG 17 Okt. – Jika dibandingkan hampir setahun lalu, deretan kedai menjual produk makanan tradisional belacan dan cencaluk di Kampung Pinang dekat Batang Tiga, di sini, kelihatan sunyi sepi tanpa kehadiran pengunjung singgah membeli di situ.

Bagaimanapun, setelah kebenaran rentas negeri bermula Isnin lalu, pemandangan sepi di kawasan itu kini berubah wajah dan kelihatan meriah dengan deretan kenderaan mula `menyerbu’ kedai di situ.

Menurut peniaga yang ditemui Melaka Hari Ini (MHI), mereka mula menerima kunjungan `luar biasa’ pembeli sejak kelmarin dengan kebanyakannya membeli produk belacan, ikan bilis, ikan masin dan cencaluk dalam kuantiti  yang agak besar.

ORANG ramai menyerbu gerai menjual belacan dan cencaluk di Batang Tiga.

Bagi Siti Asiah Jamil, 47, jualan belacan dan cencaluk paling mendapat sambutan dan laris dijual dalam tempoh beberapa jam sahaja.

“Alhamdulilah, kedai saya tidak putus-putus dikunjungi orang ramai sejak semalam dan saya jangkakan bilangan mereka akan bertambah untuk beberapa hari ini.

“Kalau dulu waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) nak dapat RM10 pun susah tetapi hari ini sejak sudah ada kebenaran rentas negeri, jualan mampu meraih lebih RM100 sehari,” katanya.

Bagi Lizam Abu Bakar, 45, dia hampir berputus asa untuk meneruskan perniagaan di situ namun selepas diyakinkan oleh isteri, Norasyikin Jantan, 38, maka dia kembali berniaga di situ setelah menutup kedai selama tiga bulan.

“Berkat kesabaran isteri, kedai kami mulai `bernyawa’ semula dan pada hari pertama beroperasi semula semalam (kelmarin), kedai kami tidak putus-putus dikunjungi pelanggan.

“Saya agak tidak percaya apabila melihat satu demi satu kenderaan berhenti di tepi jalan untuk singgah di kedai kami.

“Malah, ada pelanggan yang membeli borong sehingga dua dozen cencaluk untuk dibawa balik ke Kuala Lumpur,” katanya yang sudah 20 tahun berniaga di situ.

norasyikin menyusun ikan masin di gerainya sementara menunggu pembeli.

Pada masa yang sama, menurut Norasyikin, dia merasa lega kerana perniagaan cencaluk dan belacan yang diusahakan bersama suami kini sudah mula kembali mendapat sambutan.

“Tempoh setahun lalu agak perit sebab tiada pelanggan langsung.

“Kami sudah cuba menjual atas talian namun sambutannya agak perlahan dan tidak sama menjual di kedsai,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, berkat kesabaran mereka dan peniaga lain akhirnya berbaloi apabila keadaan kini semakin pulih dengan Melaka kini mulai dibanjiri pelancong tempatan dan dari negeri lain.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3924
Kongsi :
Previous post KDN bincang isu gaji polis- PM
Next post Melaka destinasi pilihan pelancong
Ubah saiz-+=