‘GENG RXZ MULA SERBU MELAKA’
AYER KEROH 6 Disember – Ketibaan konvoi lebih 400 peserta RXZ Members Ride Edition 2.0 2024 Melaka Attack! disambut di Pintu Gerbang Ayer Keroh.
Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Zahari Abd Kalil berkata, konvoi berkenaan membabitkan penunggang motosikal Yamaha RXZ dari Kedah, Johor, Terengganu dan Kelantan.
Katanya, ketibaan konvoi RXZ itu turut disambut Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Datin Sapiah Haron dan warga kerja MPHTJ.
“Alhamdulillah konvoi ini selamat sampai di Pintu Gerbang Ayer Keroh pada jam 9 pagi, selain mengucapkan selamat datang MPHTJ turut mengedarkan sarapan pagi kepada mereka.
“Kepada peserta yang sedang dalam perjalanan jom singgah di Pintu Gerbang Ayer Keroh ini untuk berehat sebelum ke tapak program di Dataran MITC,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Sementara itu, Sapiah berkata pihaknya sudah menyediakan kemudahan tandas dan surau untuk peserta yang datang ke Melaka.
“Kami di pihak MPHTJ sudah melakukan persediaan awal untuk sambut para peserta ini, jadi kemudahan asas seperti tandas dan surau dipastikan agar sentiasa berada dalam keadaan bersih serta selesa.
“Malam esok peserta himpunan RXZ ini akan berkumpul dan bersantai di Leypark Station, kami juga sudah sediakan platform untuk mereka bergambar beramai-ramai,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.