‘GENG MELAKA 04’ DIWUJUDKAN TAHUN DEPAN

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

TANJUNG BIDARA 15 September – Melaka bakal menjadi negeri pertama menunjukkan semangat kesepaduan dan kesepakatan menerusi kewujudan ‘Geng Melaka 04′, tahun depan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, inisiatif itu diilhamkan bagi membentuk sebuah identiti baharu yang melambangkan semangat rakyat di seluruh pelusuk negeri ini.

Jelas beliau, semua rakyat yang telah mendaftar dan mengikuti saluran Telegram MyMelakaNews akan diberikan kemeja T percuma dengan logo Geng Melaka 04 dan akan tertera kawasan tempat tinggal masing-masing.

“Seperti contoh, jika pada baju tertera Geng Melaka 04 Asahan, kita akan tahu dan kenal individu itu sebagai orang Asahan.

“Jadi, Geng Melaka ini akan berkembang hebat bermula tahun depan dan menunjukkan bahawa rakyat di negeri ini sepakat dan bersatu padu untuk bersama membangunkan Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pesta Pantai Tanjung Bidara 2024, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri Melaka Ke-12 Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta ketua-ketua jabatan dan agensi.

Tambah Ketua Menteri, selain memupuk semangat cintakan negeri, inisiatif Geng Melaka 04 juga dapat membantu dalam mempromosikan sektor pelancongan negeri.

“Dengan inisiatif ini juga rakyat Melaka dapat bersama-sama memacu ekonomi pelancongan memandangkan tahun depan Melaka bakal menjadi tuan rumah Hari Pelancongan Dunia (World Tourism Day), di mana 151 buah negara akan berkampung di Melaka selama seminggu.

“Selain itu, pelbagai lagi acara sedang diatur bagi memastikan kerancakan aktiviti pelancongan ini bukan hanya pada Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024), bahkan berterusan sehingga Tahun Melawat Malaysia 2026,” tambah beliau.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

151
Kongsi :
Previous post PESTA PANTAI TANJUNG BIDARA JADI ACARA TAHUNAN
Next post BUAT VIDEO TIKTOK PROMOSI MELAKA, BOLEH MENANG RM5,000
Ubah saiz-+=