Geng ‘Love Scam’ didalangi warga Afrika tumpas

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

AYER KEROH 5 Jan – Kegiatan enam warga Afrika yang dipercayai aktif menjalankan aktiviti penipuan bungkusan berakhir selepas kesemua mereka dicekup polis.

Ia selepas pihak polis menerima laporan daripada seorang mangsa yang dikatakan terpedaya dengan ‘ayat cinta’ kumpulan itu sehingga kerugian hampir RM118,000 dalam kejadian penghujung Nov tahun lalu.

Ketua Polis Melaka Datuk Wira Abdul Majid Mohd Ali berkata, susulan itu pasukan polis kemudian berjaya menahan suspek dalam dua serbuan berasingan di Puchong, Selangor pada 30 Dis lalu.

“Mereka yang ditahan termasuk tiga wanita berusia antara 30 hingga 40-an dan dipercayai aktif melakukan aktiviti penipuan ini sejak dua tahun lalu.

“Semakan dijalankan mendapati kesemua mereka ini tidak bekerja dan dipercayai juga tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Bukit Beruang, di sini, hari ini.

Menurut beliau, kumpulan ini juga disyaki terbabit dalam dua kes lain yang menggunakan modus operandi sama namun siasatan lanjut masih dijalankan.

“Mangsa berusia 42 tahun berkenalan dengan suspek iaitu seorang lelaki melalui Facebook sebelum berhubung menggunakan Whatsapp dan dijanjikan akan menghantar hadiah serta wang.

“Bagaimanapun dia kemudian diminta membuat beberapa transaksi pembayaran kononnya sebagai caj pelepasan oleh Kastam untuk mendapatkan bungkusan terbabit,” katanya.

Abdul Majid berkata, siasatan dilakukan mendapati nombor akaun digunakan suspek adalah milik seorang wanita tempatan dari Melaka berusia 50-an.

“Siasatan lanjut membabitkan pembabitan wanita itu sedang dijalankan dan dia disyaki ada menjalinkan hubungan dengan seorang daripada ahli kumpulan itu.

“Selain tangkapan, pihak polis turut merampas beberapa barangan antaranya komputer riba, telefon bimbit dan bungkusan pos laju,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, kesemua mereka kini direman sehingga hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

906
Kongsi :
Previous post Zaidi dilantik SUK Melaka yang baharu
Next post Paras sungai bahaya, penduduk di lima negeri diminta waspada
Ubah saiz-+=