Sorting by

×

Geng Ayip Gagap tumpas

Masa Membaca:1 Minit, 57 Saat

BANDA HILIR 13 Nov. – Tujuh lelaki termasuk dalang utama Geng Ayip Gagap berusia 19 hingga 32 tahun, yang aktif melakukan kegiatan curi motosikal di daerah ini sejak September lalu tumpas dalam serbuan berasingan di sekitar Daerah Melaka Tengah, Jasin dan Alor Gajah.

Serbuan yang dilakukan dalam beberapa siri tangkapan berasingan sejak 29 Oktober lalu oleh sepasukan pegawai polis dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah turut menemukan sembilan motosikal di sebuah rumah di Peringgit Jaya dan lapan rangka motosikal yang dibuang di Sungai Ayer Salak, berhampiran Bukit Rambai dekat sini.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, antara suspek yang ditahan dalang utama kumpulan berkenaan berusia 24 tahun dan dua beradik berusia 32 dan 27 tahun serta pelajar sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) berusia 19 tahun.

Katanya, suspek utama iaitu tangkapan pertama kumpulan berkenaan ditahan di sebuah rumah flat di Bukit Baru sebelum membawa kepada penahanan enam lagi suspek di sekitar kawasan Peringgit Jaya, Bukit Rambai, Lendu dan Jasin.

“Suspek utama yang dikenali sebagai Ayip ditahan di Flat Padang Jambu, Bukit Baru pada jam 9.00 malam pada 29 Oktober lalu sebelum membawa kepada penahanan enam lagi suspek.

Antara motosikal yang dicuri

“Siasatan turut mendapati motosikal yang dicuri disimpan di salah sebuah rumah transit di Peringgit Jaya dimiliki keluarga suspek utama dan membuat rampasan terhadap sembilan motosikal serta lapan rangka motosikal yang dibuang dalam sungai,” katanya pada sidang media di IPD Melaka Tengah di sini, hari ini.

Afzanizar berkata, berdasarkan siasatan lanjut mendapati kumpulan berkenaan didapati mempunyai pakar mengenai motosikal jenis Honda dan mensasarkan motosikal jenis Honda EX5 dan C70.

“Modus operandi kumpulan ini adalah mengenal pasti motosikal yang hendak dicuri dan kemudian ‘kepak’ kan pemegang motosikal sebelum membawa ke tempat sunyi untuk disambungkan wayar (bagi tujuan menghidupkan enjin).

“Suspek utama ini akan berhubung dengan suspek yang lain untuk meleraikan motosikal dan menjalankan jual beli melalui laman Facebook,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata penahanan semua suspek ini berjaya menyelesaikan 13 kes kecurian motosikal yang dianggarkan bernilai RM40,000.

Jelasnya, semua suspek direman bermula tarikh tangkapan selama tujuh hari, bagaimanapun tiga daripada suspek dibebaskan dengan jaminan polis.

“Empat lagi suspek termasuk dalangnya yang masih ditahan mempunyai baki reman tiga hari lagi dan kita sedang dalam proses melengkapkan kertas siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Views:

639
Kongsi :
Previous post PKPB: Pengusaha gimnasium akur walaupun rugi
Next post Chin Aun, Rameli kecewa Piala Malaysia batal
Ubah saiz-+=