GENERASI MUDA ‘HAYATI’ SENI WARISAN MANGKUK TINGKAT
BANDA HILIR 19 September – Sejauh mana kita tahu mengenai mangkuk tingkat, adakah kita tahu mangkuk tingkat juga melalui evolusi seiring peredaran zaman dan benarkah mangkuk tingkat ini menampilkan identiti budaya tersendiri.
Pameran Nostalgia Mangkuk Tingkat: Antara Rupa, Seni dan Cerita di Sebaliknya yang sedang berlangsung di Muzium Sejarah dan Ethnografi bermula 1 September lalu hingga 30 November depan mampu menjawab setiap persoalan.
Tinjauan Melaka Hari Ini di muzium terbabit mendapati pelbagai golongan usia dan bangsa yang mengunjungi muzium tersebut turut teruja melihat pameran tersebut.
Menurut pengunjung, Intan Nur Syazliana Ahmad, 21, dari Perak berkata lebih 50 koleksi mangkuk tingkat yang dipamerkan di muzium tersebut.
Jelasnya, pelbagai info dan pengetahuan baharu dapat digarap termasuk fungsi dan penggunaan mangkuk tingkat mengikut peredaran zaman.
“Saya tidak tahu mangkuk tingkat ini sungguh berharga sehinggakan ia dipamerkan di muzium. Pada saya ia sekadar bekas berisi makanan dan bertingkat.
“Selepas melawat dan melihat pameran ini, saya boleh simpulkan mangkuk tingkat bukan hanya diperbuat daripada aluminium, malahan ada juga diperbuat daripada pelbagai material dengan nama panggilan yang berbeza,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Nada sama disuarakan seorang pengunjung lagi Mohammad Hazizul Ahamad, 22, berasal dari Rembau menyifatkan pameran itu benar-benar membuatnya seolah menyusuri sejarah dan seni setiap koleksi mangkuk tingkat.
Jelasnya, menerusi pameran itu dia mengetahui bahawa mangkuk tingkat telah menjadi warisan hampir seluruh masyarakat dunia menggunakannya.
“Sebagai contoh, kalau kita tahu bento yang dikenali di Jepun itu juga merupakan revolusi daripada mangkuk tingkat, manakala di India lebih popular dipanggil ‘dabba’ sering digunakan oleh pelajar sekolah dan pekerja.
“Dan terdapat perkhidmatan penghantaran makanan menggunakan mangkuk tingkat yang wujud sejak ratusan tahun lalu dan sistem tersebut dikenali sebagai Dabbawala, Makanan dihantar pekerja pada lewat pagi ke pejabat dan ke sekolah di sekitar Mumbai.
“Manakala di China, terdapat bekas makanan bertingkat dikenali sebagai bingxiang atau baozi box yang diperbuat daripada buluh. la digunakan semasa perjalanan jauh atau bagi yang bekerja di ladang sejak zaman kuno. Baozi box merujuk kepada bekas yang digunakan untuk menyimpan atau menghidangkan kuih bun atau pau kukus,” jelasnya.
Menurutnya, pelbagai lagi sejarah, saiz, corak dan kisah di sebalik mangkuk tingkat yang mungkin tidak ramai tahu.
“Sedikit sebanyak info mengenai mangkuk tingkat ini memberi makna kepada generasi muda seperti saya untuk mengenali warisan yang tidak ketara seperti ini,” jelasnya lagi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.