Sorting by

×

Gembira akan dibina rumah baharu

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

REMBIA 23 Okt. – “Alhamdulillah kami akan dapat kediaman baharu, pada awalnya saya agak kusut memikirkan mencari duit bagi membina rumah lain selepas rumah lama hangus terbakar dalam kebakaran pada bulan lalu.

“Dengan peruntukan yang diberikan ini, rumah baharu akan dibina dalam masa terdekat selain saya dan emak dapat kembali meneruskan kehidupan harian seperti sebelumnya,” kata Zakaria Abd Rahman, 47.

Dalam kejadian pada 9 September lalu, rumah pusaka didiami Zakaria bersama ibunya Ramlah Desot, 77, musnah dalam kebakaran kira-kira jam 6.45 petang menyebabkan mereka tinggal sehelai sepinggang.

Menurutnya, walaupun sedih dengan kejadian yang menimpa, namun dia bersyukur mereka terselamat dan tidak berlaku kemalangan jiwa.

“Pada hari kejadian, saya baru selesai menghidangkan air kepada dua rakan yang datang ke rumah, manakala emak ketika itu berada di dapur.

“Saya yang ketika itu berada dianjung hadapan tiba-tiba terkejut apabila rakan menjerit ada api sedang marak diruang tamu, menyebabkan kami bertiga bergegas mendapatkan sumber air untuk cuba memadam kebakaran,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Solok Seberang Prai, Kampung Sungai Petai.

Katanya, ibunya yang terdengar jeritan api turut bergegas keluar menyelamatkan diri dan dalam tempoh kira-kira 20 minit sahaja rumahnya itu hangus.

“Buat masa ini saya dan ibu emak tinggal bersama adik sementara menunggu rumah baharu kami siap. Terima kasih saya ucapkan kepada pihak yang terbabit dalam membantu kami sekeluarga,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri yang juga Ketua UMNO Bahagian Alor Gajah Datuk Seri Abdul Ghafaar Atan berkata, peruntukkan sebanyak RM40,000 melalui Lembaga Perumahan Melaka (LPM) diberikan kepada mangsa untuk membina rumah baharu dan ianya akan dilakukan secara gotong royong.

“Struktur rumah itu dijangka mempunyai tiga bilik dan akan dilakukan secara gotong royong kerana sekiranya melalui tender ia mungkin akan menelan kos yang tinggi,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan kepada mangsa.

Hadir sama Pengarah Eksekutif LPM Mohd Salleh Hamidom.

Views:

397
Kongsi :
Previous post Bajet 2021: Berita baik untuk rakyat – KM
Next post COVID-19: JKNK akan saring pemandu bas, lori dari zon merah
Ubah saiz-+=