Gelombang anak muda, kempen dalam talian bantu kejayaan PN Tangga Batu

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

TANGGA BATU 20 November – Perikatan Nasional (PN) menyifatkan kejayaan menawan kerusi Parlimen Tangga Batu dibantu oleh dua faktor.

Ahli Parlimen Tangga Batu Bakri Jamaluddin berkata, dua faktor itu ialah gelombang anak muda dan kempen secara dalam talian yang dilaksanakan sepanjang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Katanya, gelombang kali ini dilihat lebih ketara apabila kreativiti berkempen yang digunakan berjaya menawan hati bukan sahaja anak muda, bahkan pelbagai peringkat warga Tangga Batu.

“Saya rasa kempen di media sosial yang kita gunakan sangat membantu dalam menjangkau semua lapisan umur, selain kecendurangan minat anak muda itu sendiri apabila saya berbicara soal ekonomi digital.

“Bagi saya, kemenangan ini bukanlah kemenangan untuk PN tetapi ia kemenangan semua warga P.136 Tangga Batu yang terdiri daripada tentera dan pesara, petani, nelayan, pekerja kilang dan khususnya anak muda itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas diumumkan menang kerusi Parlimen Tangga Batu di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi Dewan Kompleks Sukan Komuniti Krubong, di sini, malam tadi.

Bakri menang dengan majoriti 8,849 selepas memperoleh 37,406 undi, sekali gus menewaskan penyandang kerusi itu Prof Madya Rusnah Aluai (PH) yang memperoleh 28,557 undi dan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Lim Ban Hong (25,095 undi).

Manakala dua lagi calon iaitu Ghazali Abu (Pejuang) dan Shahril Mahmood (Bebas) masing-masing hilang wang pertaruhan apabila sekadar meraih 702 dan 267 undi.

Dalam pada itu, Bakri berkata, perkara pertama yang akan dilakukannya sebagai Ahli Parlimen ialah mahu menyelesaikan masalah nelayan, selain akan turut mengadakan forum bersama anak muda untuk mendengar segala keluh-kesah dan pandangan mereka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2157
Kongsi :
Previous post PH kekal di Hang Tuah Jaya
Next post PRU15: Mahathir tewas di Langkawi
Ubah saiz-+=