Sorting by

×

Gelinciran tanah SKSE: Kerja pembaikan cerun dijangka siap Mei depan

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

TABOH NANING 23 April – Kerja pembinaan tembok penahan cerun di Sekolah Kebangaan Simpang Empat (SKSE), di sini yang dikesan mengalami gelinciran akan disiapkan pada 15 Mei depan.

Pemaju perumahan yang dilaporkan menyebabkan gelinciran pada cerun itu berjanji akan segera menyiapkannya mengikut jadual selepas dimulakan beberapa bulan lalu.

Setakat ini kerja berkenaan sudah mencapai 80 peratus bagi memastikan cerun tidak terus mengalami gelinciran, sekali gus memastikan keselamatan 465 murid serta 37 guru SKSE.

Menjelaskannya, Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), Mohd Fadhil Hassan berkata, MPAG menerima aduan daripada YDP Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SKSE, Taufik Abdul Rahman mengenai runtuhan cerun pada 21 Mei 2020.

Berikutan itu, katanya, pegawai Jabatan Kejuruteraan MPAG mengarahkan pemaju menghentikan kerja pembinaan serta merta sebelum menutup cerun yang runtuh dengan kanvas.

“Jabatan itu juga menyemak semula ketinggian cerun yang dibina pemaju kerana ia lebih tinggi berbanding pelan asal yang diluluskan MPAG.

“Berikutan permohonan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Alor Gajah pada 6 Januari lalu supaya kerja pembinaan tembok penahan cerun disegerakan, MPAG mengarahkan pemaju membina tembok itu pada 10 Januari lalu,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, MPAG turut mengarahkan pemaju melaksanakan kerja pembaikan padang Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Sann Yuh yang berjiran dengan SKSE berikutan padang berkenaan dikesan mengalami mendapan pada Dis 2021 dan kerja pembaikan dilaksanakan pemaju pada Januari lalu.

Kelmarin Melaka Hari Ini melaporkan nyawa 465 murid dan 37 guru SKSE terancam berikutan gelinciran tebing berhampiran sekolah yang didakwa berpunca daripada projek perumahan bersebelahannya, dikesan semakin serius.

Turut terkesan ialah keselamatan sembilan kakitangan dan empat pengawal keselamatan selepas runtuhan tanah yang hanya beberapa meter dari sekolah itu, terutama Blok C dan kantin, dikesan semakin membimbangkan.

Sementara itu EXCO Pendidikan dan Teknologi Melaka, Datuk Rais Yasin ketika dihubungi berkata, beliau akan meninjau sendiri lokasi kejadian bagi mencari kaedah paling sesuai untuk mengatasi gelinciran tanah di tebing bangunan sekolah.

“Apabila sudah dapat fakta sebenar, barulah saya beri ulasan yang tepat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1185
Kongsi :
Previous post COVID-19: Kerajaan bincang longgar tiga perkara utama SOP – PM
Next post Mayat lelaki diikat rantasi besi ditemukan di kawasan parkir
Ubah saiz-+=