Gelaran al-Huffaz nilai tambah kerjaya masa depan pelajar
TELOK MAS 20 Mac – Gelaran Al Huffaz mampu dijadikan nilai tambah dalam sebarang kerjaya yang dimiliki pelajar akan datang sekali gus menyeimbangkan pendekatan duniawi dan ukhrawi seseorang insan.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md. Ali berkata, pencapaian itu perlu diperluaskan buat anak muda di negeri ini agar syiar Islam terjamin pada masa akan datang.
“Jika ramainya al-Huffaz di negeri ini pada masa akan datang maka saya yakin bila mereka berjaya bergelar seorang doktor, jurutera atau sebagainya perkara ini akan menyeimbangkan nilai agama dalam kerjaya yang dimiliki.
“Saya harap agar lebih ramai pelajar yang memiliki gelaran ini pada masa akan datang bagi memartabatkan syiar Islam pada masa akan datang selari dengan sejarah negeri ini sebagai negeri penyebaran agama Islam sejak 750 tahun dahulu.
“Syabas dan tahniah kepada barisan pelajar dan tenaga pengajar yang mendidik mereka agar menjadi seorang insan berguna pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas merasmikan Majlis Penganugerahan Graduasi Madrasah Tahfiz Al Quran Wal Qiraat, di sini hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa di Jabatan Ketua Menteri (Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknikal dan Vokasional, Sains Dan Inovasi), Datuk Noor Effandi Ahmad.
Seramai 14 pelajar menerima gelaran al-Huffaz selepas menamatkan pengajian di sekolah itu sepanjang tiga tahun pengajian pada program itu yang diadakan sekitar jam 10 pagi tadi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.