Gelagat tetamu cilik gamatkan rumah terbuka Aidilfitri MCORP
AYER KEROH 6 Mei – Keletah sekumpulan kanak-kanak yang menyanyikan lagu raya alaf baru kumpulan De Fam, Alamak Raya Lagi, menarik perhatian tetamu hadir ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perbadanan Melaka (MCORP) Bersama Anak syarikat Dan Rakan Strategik di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Kanak-kanak yang juga murid Tadika Pintar dijemput untuk bersama-sama memeriahkan penganjuran rumah terbuka itu secara spontan menyanyikan lagu berkenaan yang tular di media sosial sejurus muzik dimainkan Kombo Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).
Malah gelagat kanak-kanak berkenaan turut menarik perhatian Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang turut bersama-sama hadir memeriahkan penganjuran rumah terbuka itu.
Ketua Menteri, turut menyantuni dan menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak berkenaan yang secara spontan menyerikan lagi sambutan rumah terbuka Aidilfitri MCORP.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.