Sorting by

×

Gedung pakaian gamat, anak yatim girang terima baju raya baharu

Masa Membaca:2 Minit, 23 Saat

AYER LIMAU 2 April – Kegirangan anak-anak yatim menggamatkan suasana di sebuah gedung pakaian di Masjid Tanah hari ini apabila mendapat pakaian baru bagi persiapan menjelang Aidilfitri akan datang.

Menerusi Program Cahaya Ramadan anjuran Telekom Malaysia Berhad (TM) dan Japerun Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau itu keceriaan jelas terpancar pada raut wajah anak kecil itu tatkala menerima khabar gembira itu sekali gus membawa keberkatan pada Ramadan ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, seramai 30 anak yatim diraikan dalam program tahunan itu bagi memastikan nikmat Syawal yang diraikan mampu sama seperti anak lain di dunia ini.

Katanya, kolaborasi antara TM saban tahun sebagai keprihatinan pihaknya kepada anak yatim selain golongan asnaf di kawasan itu diraikan bagi mengurangkan bebanan dalam persediaan Syawal yang mendatang.

“Menjelang pasca pandemik kali ini kita lihat kawasan ini semakin pulih dan norma baharu sebelum ini kembali seperti biasa seperti amalan ibadah yang dijalankan tidak seperti dahulu di mana masyarakat perlu berwaspada dengan pandemik yang menular ketika itu.

“Kita lihat persiapan raya kali ini di kampung-kampung kembali ceria dan sambutan ini juga perlu kita raikan buat golongan ini agar mereka turut bersama-sama meraikan seperti insan lain,”katanya.

AB28381C-C8BD-4B24-B2EE-B0B54F6F7723
ANAK yatim terlibat bergambar bersama tetamu yang hadir selepas program berkenaan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam Program Cahaya Ramadan diadakan di sebuah gedung pakaian di Masjid Tanah di sini hari ini.   

Hadir sama, Pengurus Besar TM Melaka, Datuk Rozlan Mohamed.

Hameed berkata sumbangan itu sedikit sebanyak mampu menceriakan golongan itu dan pihaknya di DUN Ayer Limau turut menganjurkan pelbagai program sejak awal Ramadan lalu bagi meraikan masyarakat kurang kemampuan.

“Kali ini menerusi sumbangan daripada pelbagai pihak termasuk Pejabat Ketua Menteri, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Lembaga Tabung Haji serta pelbagai lagi dan difahamkan lebih 200 lagi penerima bakal diraikan pada program akan datang,”

Terdahulu dalam program diadakan itu, kesemua anak yatim menerima sumbangan pakaian raya dengan masing masing perlu melengkapkan jumlah harga pakaian sebanyak RM165 buat satu keluarga.

Malah, mereka yang diraikan turut menerima sumbangan kit makanan sejurus selepas program itu berlangsung.

Sementara itu, Rozlan berkata, program tahunan diadakan kali ini memfokuskan tiga DUN negeri ini termasuk DUN Taboh Naning dan Kuala Linggi

bagi meraikan anak yatim yang akan diraikan dalam masa terdekat ini.

Selain itu katanya, Program Penyerahan Zakat dan agihan bubur lambuk juga akan dianjurkan di lokasi enam Japerun di Melaka sepanjang bulan ini.

“Program tahunan ini merupakan salah satu program korporat tanggungjawab sosial (CSR) dijalankan sepanjang tahun di mana menerusi Yayasan TM yang diagihkan kepada setiap negeri Malaysia kita menerima peruntukan lebih kurang RM20,000 bagi menjalankan pelbagai program kebajikan demi manfaat masyarakat di negeri ini.

“Semoga bantuan yang diberikan ini dapat membawa keceriaan kepada golongan memerlukan ini demi persiapan raya menjelang Syawal akan datang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1105
Kongsi :
Previous post Bekalan telur cukup menjelang Aidilfitri – FAMA
Next post JTDL Ramadan Madani, ‘jimat’ banyak
Ubah saiz-+=