Sorting by

×

Garis panduan pengoperasian sekolah 4.0 diumum dalam masa terdekat

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

PUTRAJAYA, 25 April – Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 4.0, akan diumumkan selepas pengumuman mengenai kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) oleh Kementerian Kesihatan (KKM), kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

Beliau berkata Kementerian Pendidikan (KPM) mahu memastikan Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 4.0 yang akan diumumkan itu, selaras dengan apa yang diumumkan KKM.

“Selesai sahaja pengumuman KKM, kita selaraskan perkara yang dibincangkan dengan KKM dan akan mengumumkan garis panduan 4.0 dalam masa terdekat,” katanya semasa berucap pada Majlis Ihya Ramadan Bersama Media di sini hari ini.

Radzi berkata pembukaan sekolah yang bermula sejak Mac lepas, dilakukan dengan niat untuk tidak lagi menutupnya, justeru ia perlu dilaksanakan dengan cermat.

“Kita tahu bahawa ramai ingin melihat sektor pendidikan dibuka dengan lebih meluas. Insya-Allah kita sudah buka sedikit demi sedikit cuma kita mengambil pendekatan lebih cermat.

“Biar lambat asalkan selamat, sebab bila kita buka nanti insya-Allah kita dapat terus beroperasi dan sekolah tidak perlu ditutup lagi,” katanya.

Pada 17 April lepas, Radzi dilaporkan berkata Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 4.0, bakal diumumkan bulan ini di mana ia termasuk aktiviti kokurikulum yang sebelum ini hanya dibenarkan di sekolah sahaja, selain penggunaan kantin.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata kelonggaran beberapa SOP COVID-19 yang bakal diumumkan Rabu ini, bersifat selamat dan cermat bagi memastikan kerajaan tidak mahu tersilap langkah dan mengelak usaha yang dilakukan untuk mengawal wabak COVID-19 selama ini, disia-siakan.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1435
Kongsi :
Previous post Agong, Permaisuri berbuka puasa bersama warga ATM
Next post Dari Pirate Park ke Taman Sigua
Ubah saiz-+=