Garis panduan patuh syariah pengurusan, penempatan mangsa banjir telah siap
KUALA LUMPUR, 4 Ogos – Garis panduan patuh syariah dalam pengurusan dan penempatan mangsa banjir telah siap disediakan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata garis panduan yang inklusif berlandaskan Perlembagaan Persekutuan itu telah diedarkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana setiap negeri untuk dilaksanakan apabila berlakunya bencana alam itu di negeri masing-masing.
“Garis panduan yang kita (NADMA) sediakan ini merangkumi semua agama. Ia patuh syariah dengan keluarga terdiri daripada lelaki dan perempuan bukan mahram diasingkan ketika berada di Pusat Penempatan Sementara (PPS).
“Makanan disediakan oleh penyedia perkhidmatan yang menepati standard halal, ruang ibadat patuh prosedur operasi standard (SOP) dan khemah yang tinggi berbanding sebelum ini,” katanya menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas) ketika sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di sini, hari ini.
Ahmad Fadhli ingin tahu sama ada NADMA telah menyediakan garis panduan patuh syariah dalam pengurusan dan penempatan mangsa banjir terutama yang melibatkan mangsa bermalam di PPS.
Mohd Redzuan berkata ketika ini sebanyak 20,000 unit khemah patuh syariah sudah dibeli.
Mengulas lanjut, beliau berkata garis panduan tersebut turut mengambil kira SOP pencegahan COVID-19 khususnya penjarakan fizikal yang digariskan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan berikutan penularan wabak COVID-19.- BERNAMA