Ganjaran ‘extra’ untuk atlet Muay Thai Melaka
AYER KEROH 15 Julai – Atlet Muay Thai Negeri Melaka yang cemerlang dalam gelanggang pada aksi Sukan Malaysia Ke-21 (Sukma XXI) Sarawak, Ogos ini bakal menerima ganjaran tambahan.
Mengulas lanjut perkara itu Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, VP Shanmugam berkata, habuan RM10,000 menanti atlet Muay Thai menyumbang emas, perak (RM6,000) dan gangsa (RM3,500).
Katanya, habuan besar menanti atlet Muay Thai selepas bapa angkat kepada sukan berkenaan iaitu Khoo Poay Tiong yang juga Ahli Perlimen Kota Melaka yang mengumumkan ganjaran tambahan daripada beliau sendiri sebagai menghargai mereka yang cemerlang pada Sukma XXI.
“Pada dasarnya Kerajaan Negeri menyediakan ganjaran RM5,000 (emas), Perak (RM3,000) dan Gangsa (RM1,500). Namun buat atlet Muay Thai Melaka, bapa angkat mereka mengumumkan ganjaran tambahan iaitu RM5,000 (emas), RM3,000 (perak) dan RM2,000 (gangsa).
“Pada Sukma XXI nanti seramai 16 atlet Muay Thai Melaka akan berentap dalam 11 acara,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Pusat Latihan Atlet Sukma Muay Thai Kontinjen Negeri Melaka 2024 di Taman Muzaffar Height, di sini, semalam.
Selain Poay Tiong, hadir sama pada majlis itu Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) negeri, Mohd Asri Ninggal, Ketua Pegawai Eksekutif MITC, Datuk Arif Shah Abdullah Sani, juga agensi angkat kepada sukan berkenaan, Penasihat Pesatuan Muay Thai Negeri Melaka, Khairudin Yunus dan Presiden Persatuan Muaythai Negeri Melaka Emrito @ Haris Alias.
Terdahulu pada majlis sama Shanmugam, turut menyaksikan penyerahan sumbangan berjumlah RM30,000 daripada Pejabat Ahli Parlimen Kota Melaka kepada Persatuan Muay Thai Negeri Melaka sebagai persediaan ke Sukma XXI nanti.
Shanmugam berkata, meskipun Skuad Muay Thai Negeri Melaka hanya meletakkan sasaran dua emas pada Sukma XXI, namun sebagai exco bertanggungjawab beliau mencabar atlet bertanding untuk membawa pulang emas bagi setiap kategori yang disertai.
“Saya mencabar semua atlet Muay Thai untuk berikan komitmen terbaik dan menyumbang emas buat Negeri Melaka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.