Gangguan bekalan akibat kebakaran di Mid Valley berjaya dipulihkan sepenuhnya – TNB
KUALA LUMPUR, 17 Mei – Bekalan elektrik yang terganggu susulan kebakaran yang berlaku di Pencawang Masuk Utama (PMU) di pusat beli-belah Mid Valley Mega Mall hari ini berjaya dipulihkan sepenuhnya sekitar pukul 12:30 tengah hari, menurut Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Ketua Pegawai Grid, Ir. Dev Anandan dalam kenyataan berkata pemeriksaan TNB mendapati PMU itu terpelantik pada pukul 10:27 pagi dan bekalan terputus mulai pukul 10:51 pagi.
“TNB berjaya memulihkan bekalan kepada sebahagian besar pengguna seawal empat minit gangguan berlaku pada kejadian kebakaran PMU Mid Valley pagi ini. Tindakan pantas pasukan teknikal TNB telah dapat memulihkan bekalan elektrik seawal pukul 10:55 pagi,” katanya.
Beliau berkata gangguan bekalan itu melibatkan kawasan terhad sekitar Mid Valley serta sebahagian Desa Pantai, dan bekalan elektrik dipulihkan secara berperingkat dengan majoriti kawasan terlibat mendapat bekalan masing-masing dalam tempoh satu setengah jam.
Menurutnya sistem pengangkutan di KL Sentral tidak terjejas kerana mendapat punca bekalan yang berbeza.
“TNB mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) atas bantuan memadamkan kebakaran. Kami memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami pengguna terlibat.” katanya.
Dev Anandan berkata untuk sebarang pertanyaan mengenai gangguan bekalan, pengguna boleh menghubungi talian TNB Careline dengan menelefon 15454.
Beberapa rakaman video mengenai kebakaran di PMU di Mid Valley Megamall yang menampakkan kepulan asap hitam tebal menjadi tular di media sosial hari ini.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.