Ganding bahu jayakan Hari Pelancongan Dunia 2025
BANDA HILIR 21 Oktober – Semua pemain industri diminta untuk bersama-sama dengan Kerajaan Negeri Melaka dalam membuat persiapan menjadi tuan rumah Hari Pelancongan Dunia atau World Tourism Day (WTD) 2025.
Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Zaidi Attan berkata, ia memandangkan Malaysia dan Negeri Melaka buat julung kalinya dipilih sebagai tuan rumah penganjuran berprestij peringkat dunia itu.
Katanya, pemilihan Melaka sebagai hos WTD 2025 bertemakan ‘Tourism and Sustainable Transformation’ sudah pasti merupakan satu penghormatan buat Negeri Melaka dan kepercayaan itu perlu direalisasi dengan jayanya.
“Ini adalah pengiktirafan besar dan Melaka adalah satu-satunya venue untuk WTD ini bersama-sama 60 atau 70 negara lain menjadikan sambutan itu nanti.
“Dengan pemilihan ini Melaka perlu bekerja untuk tiga tahun ke hadapan bermula dengan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM24), WTD 2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Pemilihan ini juga adalah kepercayaan kepada Kerajaan Negeri jadi saya seru semua pemain industri untuk bersama-sama bagi merealisasikannya. Mewakili Kerajaan Negeri juga saya amat berbesar hati dengan kejayaan Melaka sebagai sebuah negeri pelancongan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Hadiah kepada pembeli tiket Matta Fair Melaka 2023 di sebuah hotel, di Banda Hilir, semalam.
Hadir sama, Pengurus Besar, Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka Sa’ari Basiron dan Pengerusi Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Melaka, Goh Hock Gin.
Zaidi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Serkam berkata, terpilih menjadi tuan rumah sempena WTD 2025 juga adalah satu peluang kepada Melaka dalam memacu lagi sektor ekonomi negeri selepas pandemik COVID-19.
“Ini adalah peluang untuk kita meningkat dan merancakkan lagi ekonomi selepas COVID-19 jadi kita perlu bergerak dengan lebih pantas kerana ia adalah teknik pantas yang dapat bantu menjana balik perkembangan ekonomi negeri.
“Mesyuarat terperinci berkaitan WTD 2025 ini dijangka akan diadakan pada minggu hadapan yang akan membabitkan Kerajaan Negeri dan juga Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), daripada situ nanti kita akan mendapat keterangan yang lebih lanjut berhubung penganjuran itu kelak,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.