Sorting by

×

‘Gambar kami tapi cerita orang lain’

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

AYER KEROH 10 Mac. – Seorang pekerja syarikat konsesi pembersihan di Kampung Serkam Pulai, Merlimau, dekat sini, melahirkan rasa kesal apabila mendakwa sebuah portal berita dalam talian telah menggunakan gambar keluarganya tanpa pengetahuan dan kebenaran untuk sebuah artikel.

Ismail Abd Rahim, 43, berkata, lebih dikesalkan apabila isi kandungan artikel disiarkan itu langsung tiada berkaitan dengan dia sekeluarga sebaliknya mengenai sebuah keluarga susah di Kelantan.

Katanya, dia mengetahui perkara itu selepas diberitahu isterinya, Siti Zulaika Mahmud, 33, pada 3 Mac lalu melalui aplikasi WhatsApp.

ISMAIL membuat laporan polis kerana bimbang gambar dia sekeluarga disalah guna bagi tujuan jenayah termasuk meminta derma.

“Apabila membuka alamat portal berita yang dikongsi isteri, saya terkejut mendapati gambar kami sekeluarga enam beranak disiarkan dalam satu artikel mengenai keluarga miskin di Kelantan. Namun, nama ketua keluarga orang susah itu adalah Mohamad Lir Abdul Rahman.

“Saya merasakan seseorang yang tidak saya kenali telah menggunakan gambar saya sekeluarga tanpa pengetahuan saya,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Ismail menegaskan beliau amat bimbang gambar mereka sekeluarga disalah guna oleh pihak terbabit untuk tujuan jenayah termasuk memperdaya orang untuk meminta derma atau bantuan kewangan.

“Saya membuat laporan di Balai Polis Merlimau pada hari sama (3 Mac) kerana takut dan malu dengan jiran sekeliling serta orang kampung apabila gambar saya disebarkan dengan sewenang-wenangnya di laman sosial tanpa pengetahuan saya,” katanya yang turut merujuk perkara itu kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) Melaka untuk tidakan lanjut.

Semakan MHI mendapati artikel itu mengenai sebuah keluarga enam beranak di Gua Musang, Kelantan yang menghuni rumah usang di rancangan Kemajuan Tanah Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) Paloh 1 dan menjual telur itik sebagai pendapatan utama sara keluarga.

“Saya pernah memohon bantuan sebelum ini dan berita mengenainya disiarkan di sebuah akhbar bersama gambar kami sekeluarga enam beranak. Namun, tidak sangka gambar itu diguna pula pihak lain tanpa pengetahuan.

“Jika ada pihak betul-betul ingin membantu kami sekeluarga saya sedia menerima,” katanya Ismail lagi.

Menurutnya, ketika ini dia sekeluarga menerima bantuan bulanan RM400 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk dua anaknya kategori orang kurang upaya (OKU) dan bantuan makanan bernilai RM200 daripada Majlis Agama Islam (MAIM).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

530
Kongsi :
Previous post Ditahan edar dadah empat hari sebelum bertunang
Next post Mohd Tamrin didakwa buat komunikasi jelik terhadap kerabat diraja Johor
Ubah saiz-+=