Galak pengusaha taska, pusat jagaan tampil berdaftar

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

AYER KEROH 30 November – Pelbagai inisiatif dan pendekatan diambil Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi menggalakkan pengusaha premis pusat jagaan kanak-kanak dan warga emas swasta untuk tampil berdaftar sekali gus beroperasi secarah sah.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin berkata, tindakan pengusaha premis untuk berdaftar di bawah Akta Pusat Jagaan 1993 (Akta 506) itu perlu bagi memastikan mutu perkhidmatan yang mereka tawarkan terjamin dan berada dalam keadaan baik.

Katanya, antara program dan aktiviti yang diadakan oleh JKM adalah mengadakan sesi libat urus diantara pemilik pusat jagaan tidak berdaftar bersama agensi teknikal.

“Selain itu, mengadakan mesyuarat ‘One Stop Centre’ JKM bersama dengan agensi teknikal, menganjurkam Program Jom Daftar dan Kempen Jom Daftar dengan membuat hebahan melalui media sosial termasuklah menguatkuasakan tindakan penguatkuasaan keatas pusat jagaan untuk mendaftar.

“Setiap kali apabila kita mendapat aduan mengenai sesuatu kejadian yang berlaku di pusat jagaan atau taska JKM akan turun dan mengambil tindakan segera iaitu lak premis terbabit,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali (BN-Lendu) pada Persidangan Ketiga (Bajet), Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Yang Kelima Belas, hari ini.

Menurut beliau, sehingga 31 Oktober 2023 terdapat sebanyak 61 pusat jagaan kanak-kanak swasta berdaftar di negeri ini membabitkan 59 adalah jenis pusat jagaan harian manakala dua lagi adalah berkediaman dan daerah Melaka Tengah merekodkan bilangan terbanyak dengan 50 premis.

“Ia kemudian diikuti dengan Alor Gajah dengan mempunyai tujuh pusat jagaan kanak-kanak swasta berdaftar dan di Jasin mempunyai hanya empat premis yang berdaftar.

“Manakala bagi pusat jagaan warga emas swasta berdaftar pula, di seluruh Melaka terdapat sebanyak 22 premis membabitkan 21 adalah jenis berkediaman dan sebuah lagi pusat harian,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

519
Kongsi :
Previous post Hot Air Balloon TMM2024 dipindahkan ke Pavilion Dataran Pahlawan
Next post KM ‘hadiah’ pantun untuk Ketua Pembangkang
Ubah saiz-+=