Galak lebih ramai usahakan kolam ternakan
ASAHAN 17 Januari – Lebih ramai penduduk terutamanya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan, disaran untuk mengusahakan kolam ternakan ikan bagi menyumbang kepada keterjaminan makanan pada masa hadapan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, pihaknya amat mengalu-alukan penduduk untuk mengusahakan sektor itu sekali gus dapat menampung keperluan rakyat.
Katanya, pembabitan banyak pihak dalam bidang ternakan dan pertanian akan juga membantu meningkatkan sektor agromakanan.
“Untuk itu saya sarankan lebih ramai yang tampil dan mengusahakan kolam ternakan terutamanya dengan bangunkan semula kolam terbiar yang terdapat di DUN Asahan ini.
“Apabila ramai yang usahakan kita bukan sahaja dapat keluarkan lebih banyak hasil unntuk menampung keperluan pasaran tetapi membantu meningkatkan sekuriti makanan terutamanya untuk negeri Melaka,” katanya.
Beliau yang juga Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri berkata, agensi berkaitan seperti Jabatan Perikanan sedia membantu dan memberi bimbingan kepada mereka yang komited serta serius dalam mengusahakan kolam ternakan.
“Selain itu Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) juga bersedia membantu pengusaha untuk kembangkan lagi apa yang diusahkan seperti penternak ikan tilapia Muhammad Hafiz Abdullah di Felda Bukit Senggeh apabila bakal menerima geran untuk membeli alatan pemeriksaan pH air kolamnya.
“Dimaklumkan sebelum ini Muhammad Hafiz melakukan pemeriksaan pH air kolamnya secara manual,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.