Sorting by

×

Galak anak muda sertai SRS

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

KUALA LINGGI 11 Jan. – Lebih ramai anak muda diseru untuk menyertai program Skim Rondaan Sukarela (SRS) dalam usaha membantu komuniti di kawasan masing-masing.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Ar Ismail Othman berkata, di negeri ini, meskipun penglibatan anak muda dalam SRS dilihat semakin menggalakkan, namun, ia masih belum menyeluruh di semua kawasan.

Jelasnya, ada sesetengah kawasan di negeri ini masih diwakili majoriti golongan berumur yang mana itu menunjukkan satu pola ketidakstabilan dalam komuniti yang dikhuatiri tidak cukup untuk merealisasikan objektif penubuhan skim rondaan yang bertujuan untuk menjaga keharmonian masyarakat itu.

“Seperti contoh di Telok Gong, saya bangga kerana boleh dikatakan diwakili 60 peratus golongan muda dan bakinya golongan berusia. Namun, di kawasan lain pula situasi itu terbalik yang mana majoritinya diwakili golongan lebih berumur.

“Jadi, kita menyeru dan memohon lebih ramai anak-anak muda dapat terlibat dengan aktiviti kesukarelawan seperti ini kerana ia amat penting demi menjaga kesejahteraan kehidupan komuniti di kawasan masing.

“Semua sedia maklum betapa pentingnya SRS dalam mencegah permasalahan-permasalahan yang berlaku dalam komuniti seperti kecurian dan penyalahgunaan dadah, selain turut berperanan untuk mengeratkan hubungan silaturahim dalam satu komuniti,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Penyampaian Sumbangan Kerajaan Negeri Melaka kepada SRS yang aktif pada tahun 2020 di Kompleks JAPERUN Kuala Linggi, hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail berkata, di Melaka terdapat 187 SRS yang masih bergerak aktif dalam komuniti daripada 189 yang telah didaftarkan.

Kesemua SRS yang masih aktif itu, ujarnya, diberikan sumbangan wang tunai berjumlah RM1,000 dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM187,000 sebagai tanda penghargaan terdapat peranan mereka.

“Diharap melalui bantuan ini, ia dapat membantu setiap SRS di negeri ini untuk terus bergerak maju dan menjalankan aktiviti-aktiviti yang memberi manfaat kepadqa masyarakat di dalamnya,” katanya lagi.

 

Views:

758
Kongsi :
Previous post Sasar 15,000 pencari kerja sertai Karnival Penjana Kerjaya Melaka
Next post Calon peperiksaan utama boleh bersekolah dengan SOP ketat: PM
Ubah saiz-+=