Gagal sedia penginapan selesa, lapan majikan dikenakan tindakan
AYER KEROH 28 Februari – Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Melaka mengenakan tindakan terhadap lapan syarikat iaitu lima membabitkan sektor pembuatan dan tiga pembinaan selepas didapati gagal menyediakan penempatan pekerja mengikut garis panduan ditetap.
Pengarah JTK Melaka Naziyah Said berkata, kesalahan itu dikesan ketika pihaknya menjalankan Op Gegar selama dua hari bermula Selasa.
Katanya, sepanjang dua hari Op Gegar dilaksanakan sekitar daerah Alor Gajah dan Jasin, pihaknya memeriksa seramai 115 pekerja tempatan serta 221 warga negara asing.
“Antara fokus Op Gegar adalah memastikan pematuhan majikan terhadap Akta Kerja 1955 (Akta 265), Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 [Akta 446] dan Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011.
“Ada majikan dikesan menyediakan penginapan kepada pekerja asing tanpa mendapat sebarang perakuan daripada pihak kami. Kemudahan penginapan itu juga berada dalam keadaan daif selain mengabaikan faktor kebersihan dan kesihatan persekitaran,” katanya.
Naziyah berkata, hasil pemeriksaan ada antara majikan berkenaan dikesan lewat membuat pembayaran gaji kepada pekerja mereka.
“Kami sudah merakam percakapan pihak syarikat dan kertas siasatan akan dibuka bagi setiap pelanggaran serta kesalahan yang dikesan ketika Op Gegar.
“Selain itu, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Alor Gajah turut mengeluarkan kompaun atas kesalahan pembiakan jentik-jentik, Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) pula mengeluarkan kompaun bagi kesalahan tiada lesen penginapan pekerja selain isu berhubung kebersihan tandas serta dapur,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.