Gagal sedia khidmat pemandu pelancong, lima bas dikompaun RM25,000

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

AYER KEROH 13 Januari – Gara-gara gagal menyediakan khidmat pemandu pelancong, lima buah bas pelancong yang masuk ke negeri ini dikompaun RM25,000.

Kesemua bas itu ditahan pada operasi bersepadu yang dijalankan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka pada 7 Januari lalu.

Pengarah MOTAC Melaka Jay Yeow berkata, operasi khas itu dijalankan selama tiga hari bermula 6 hingga 8 Januari dengan memberi fokus kepada kesalahan di bawah Akta Industri Pelancongan 1992.

“Daripada 20 buah bas pelancong yang diperiksa, kita mengesan lima yang tiada pemandu pelancong dan alasan yang diberikan kepada kami, pemandu mendakwa mereka tidak tahu kerana ia diuruskan oleh agensi pelancongan.

“Susulan itu kompaun dengan nilai maksimum berjumlah RM5,000 setiap satu dikeluarkan ke atas bas pelancongan terbabit kerana melanggar akta ditetapkan,” katanya ketika ditemui selepas majlis reviu makanan Iftar Ramadan Hotel Imperial, di sini.

Menurut beliau, operasi itu dijalankan berikutan pihaknya menerima banyak aduan mengenai keengganan segelintir pengusaha bas pelancongan menyediakan khidmat tersebut.

Katanya, semua pengusaha atau pengendali bas pelancongan perlu melantik pemandu pelancong memandangkan ia sudah termaktub di dalam akta sedia ada.

Justeru, katanya, sekiranya terdapat maklumat mengenai kesalahan itu, orang ramai boleh menyalurkannya ke Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) MOTAC di pautan https://motac.spab.gov.my.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2304
Kongsi :
Previous post Warga Tanjung Bidara tonton Piala AFF beramai-ramai
Next post Paya Lebar, macam-macam ada
Ubah saiz-+=