Gagal EIA, pemaju tambak laut perlu penuhi syarat dan buat permohonan semula
AYER KEROH 21 Mac – Pemaju dikehendaki memenuhi semua syarat dalam Penilaian Alam Sekitar (EIA) yang ditetapkan sebelum projek tambakan laut di Klebang dibenarkan.
Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menjelaskan penolakan EIA dalam projek tambakan laut di Klebang baru-baru ini merupakan kaedah pelaporan biasa yang dikendalikan dalam sesuatu permohonan projek.
“Penolakan EIA itu perkara biasa, bila laporan EIA tak lengkap dan tidak sempurna kita akan maklumkan pemaju berkaitan kelulusan itu dan kenapa ia tak lulus.
“Kita senaraikan kenapa ia tak lulus dan mesti memenuhi syarat yang ditetapkan baru kita akan beri kelulusan.
“EIA ini adalah satu kaedah pelaporan di mana pemaju mesti memenuhi semua kriteria, selagi tidak memenuhi kita takkan lulus,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Penyerahan Projek Pembinaan Loji Rawatan Kumbahan Serantau Batu Berendam di sini, hari ini.
Hadir sama, EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar, Datuk Zaidi Atan dan lain-lain kenamaan.
Dalam pada itu beliau berkata, biarpun EIA telah diluluskan dalam sesebuah projek, penilaian Prestasi Alam Sekitar (ENP) turut akan dikuatkuasakan agar tidak membawa kesan kepada alam sekitar.
“Sekali pun EIA diluluskan, ENP tetap dikuatkuasakan sehingga projek itu tidak membawa kesan sampai ia disiapkan, malah bila tempoh siap sekali pun kita akan pantau supaya tidak berlaku pencemaran.
“Dua perkara ini sentiasa akan diawasi Jabatan Alam Sekitar (JAS) malah orang awam juga mempunyai hak ke atas EIA bagi memastikan alam sekitar ini dilestarikan,” katanya.
Baru-baru ini media melaporkan, JAS telah menolak penilaian EIA dalam projek tambakan laut di Klebang pada 2 Mac lalu kerana ia tidak memenuhi keperluan di bawah Seksyen 34A(2C) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.