Gagal di Piala AFF, Tan Cheng Hoe letak jawatan

Masa Membaca:1 Minit, 0 Saat

TAN Cheng Hoe membuat keputusan untuk melepaskan jawatan sebagai Ketua Jurulatih skuad kebangsaan.

Perkara itu dimaklumkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan.

Menurut Setiausaha Agung FAM Mohd Saifuddin Abu Bakar, Cheng Hoe telah mengadakan perbincangan dengan pihak pengurusan FAM dan menyatakan hasratnya itu.

Katanya berikutan kegagalan skuad kendaliannya melangkah ke separuh akhir Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura, baru-baru ini.

“Selepas berbincang secara terbuka dari semua sudut, pihak pengurusan FAM akhirnya menghormati keputusan tersebut dan telah bersetuju untuk melepaskan Cheng Hoe menerusi persetujuan bersama kedua-dua pihak.

“FAM mengucapkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada Cheng Hoe yang secara keseluruhannya telah berkhidmat selama 14 tahun bersama FAM sejak bergelar penolong jurulatih skuad B-20 kebangsaan pada 2005 hingga 2013 sebagai penolong jurulatih kebangsaan dan kembali semula pada 2017 sebagai penolong jurulatih kebangsaan kepada Nelo Vingada.

“Antara kejayaan yang diraih beliau ialah membantu Malaysia memenangi pingat emas Sukan SEA 2009 dan menjuarai Piala Suzuki AFF 2010 ketika bergelar pembantu kepada Datuk K. Rajagobal serta naib juara Piala Suzuki AFF 2018 selaku ketua jurulatih,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan selamat maju jaya kepada Cheng Hoe dalam karier kejurulatihannya selepas ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

856
Kongsi :
Previous post COVID-19: CAC di Bukit Serindit dipindahkan ke MITC Ayer Keroh mulai esok
Next post Banjir: Tiga sungai di Melaka lepasi paras bahaya
Ubah saiz-+=