Sorting by

×

Gadis pilih ‘beraya’ di kandang lembu, kambing

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

TABOH NANING 7 Mei – Pada ketika gadis lain sibuk menghadiri majlis rumah terbuka Aidilfitri, Norhanisah Norsham, 22, sibuk dengan tugas rutin memelihara kambing, lembu dan kerbau di kandang bapanya.

Meskipun kebanyakan gadis lain masih bercuti meraikan Aidilfitri yang masuk hari keenam hari ini, beliau terlalu sibuk dengan kerja memberi makan kepada haiwan ruminan itu.

Baginya, tiada istilah cuti lama untuk meraikan Aidilfitri, sebaliknya segala tenaga harus dicurahkan untuk memastikan lembu, kerbau dan kambing diternak bapanya, Norsham Mat Jan, 52, sentiasa mendapat makanan yang cukup dan sihat.

Norhanisah berkata, beliau sudah sebati dengan kehidupan sebagai penternak haiwan sejak kecil.

“Sejak kecil saya mengikut ayah menyabit rumput napier, menabur palet (makanan) untuk lembu, kerbau dan kambing, membasuh kandang dan memandikan lembu dan kerbau.

“Saya juga dibesarkan dalam suasana sentiasa menghidu bau hamis lembu, kerbau dan kambing, selain sudah biasa dengan pahit maung memelihara haiwan itu,” katanya di kandang itu di Kampung Rantau Panjang, di sini hari ini.

Saban hari, anak kedua daripada lima adik-beradik itu dan beberapa pembantu bapanya memberi makan kira-kira 700 lembu, 300 ekor kerbau dan 150 kambing, termasuk biri-biri.

Ketika berada di sekolah rendah dan sekolah menengah, Norhanisah tidak akan melepaskan peluang untuk berada di kandang selepas pulang dari sekolah semata-mata kerana sayang akan haiwan peliharaan bapanya.

Norhanisah membersihkan kandang lembu di Kampung Rantau Panjang, Masjid Tanah.

Selain itu, dia juga banyak belajar daripada bapanya mengenai jenis makanan tambahan untuk haiwan ruminan, selain rumput napier dan daun kelapa sawit.

Malah, dia juga mampu mengenali haiwan sakit, bunting, hampir beranak dan seumpamanya.

Bermula jam 8 pagi hingga lewat petang, Norhanisah sentiasa berada di kandang bagi memastikan haiwan kesayangannya itu membesar dengan sempurna, bertambah pejal dagingnya dan bebas daripada penyakit.

Katanya, dia turut mempelajari kaedah merawat kambing yang cedera dengan menyembur ubat dan mengasingkannya dalam kandang khas bagi mengelakkan penyakit berjangkit kepada kambing lain.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3013
Kongsi :
Previous post Jualan petrol meningkat 50 peratus sempena Aidilfitri
Next post Ibu bapa perlu ambil peluang lindungan anak sebelum PICKids ditutup – Khairy
Ubah saiz-+=