Sorting by

×

Gadis patah rusuk tetap hadir vaksin biarpun berkerusi roda

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

LENDU 25 Sept – Biarpun terpaksa berkerusi roda menanggung kesakitan akibat patah tulang rusuk kanan, seorang gadis membuktikan pentingnya vaksin apabila dia hadir menerima dos kedua seperti dijadualkan.

Itulah semangat melawan COVID-19 dibuktikan Siti Rabiatul Adawiyah Razali, 18, yang terpaksa menelan kepahitan menanggung kesakitan ketika bergerak dari kediamannya di Taman Kebaya, Alor Gajah untuk menerima suntikan itu di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Masjid Tanah hari ini.

Sambil ditemani bapa, Razali Mohd Said, 56, gadis terbabit menguatkan semangat untuk ditolak di atas kerusi roda sejurus tiba di tempat letak kereta ke dewan Kompleks Sukan Masjid Tanah.

Siti Rabiatul berkata, tulang rusuk kanan keenamnya patah dalam kejadian Ogos tahun lalu apabila dia terjatuh akibat terpijak lubang di kawasan berhampiran kediamannya di Bemban, Jasin.

“Bagaimanapun, ketika itu saya tidak berasa sakit sehinggalah membantu mengangkat perabot semasa keluarga berpindah dari Bemban ke Taman Kebaya tiga minggu lalu.

“Tiba-tiba saya rasa sakit pada tulang rusuk keenam kanan dan ayah terpaksa membawa saya ke Hospital Melaka untuk menjalani X-ray sebelum doktor mengesahkan tulang itu sudah patah.

“Doktor meminta saya banyakan berehat tetapi apabila menerima panggilan untuk menerima suntikan dos pertama tiga minggu lalu saya tidak boleh menolak dan begitu juga untuk dos kedua hari ini,” katanya ketika ditemui di kompleks berkenaan.

MAS Ermieyati (dua dari kiri) bertanya sesuatu kepada remaja dan bapa ketika meninjau pemberian vaksin untuk remaja di PPV Masjid Tanah di Kompleks Sukan Masjid Tanah hari ini.

Razali berkata, dia terpaksa menolak anaknya di atas kerusi roda dari tempat letak kereta ke dewan itu bagi mengurangkan kesakitan ditanggung anaknya berbanding jika berjalan.

“Saya sangat kasihan melihat dia menahan kesakitan tetapi apakan daya kami, vaksin amat penting sebagai sistem pertahanan tubuh daripada dijangkiti COVID-19.

“Walaupun terpaksa menahan kesakitan, anak saya tetap tabah menghadapi dugaan itu semata-mata untuk melengkapkan penerimaan vaksin,” katanya.

Terdahulu, PPV berkenaan menerima lawatan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang meninjau pemberian vaksin untuk remaja berusia 16 dan 17 tahun.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1552
Kongsi :
Previous post Kit ujian kendiri COVID dijual lebih murah sebelum persekolahan
Next post ‘Skuad 12 Penghulu’ santuni gelandangan setiap minggu
Ubah saiz-+=