
GADIS OKU HILANG SELEPAS KELUAR BERMAIN DI TAMAN PERMAINAN
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata kehilangan mangsa, Nurin Wardina Hairi, disedari ibunya yang berusia 47 tahun pada pukul 5.30 petang selepas mendapati anak gadisnya itu masih belum pulang ke rumah.
“Sekitar pukul 3 petang, ibu mangsa melihat anaknya keluar rumah untuk bermain di taman permainan berhampiran. Gadis itu juga enggan mengikut ibunya menghantar kakaknya ke tempat kerja di Tanjung Minyak.
“Namun, apabila pulang ke rumah, wanita itu mendapati anaknya tiada lalu meminta suaminya mencarinya di kawasan taman permainan tetapi tidak menjumpainya. Mereka kemudian mendapatkan bantuan penduduk taman untuk turut sama mencari anak mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata sebelum mangsa keluar rumah, pengadu ada melihat sebuah kereta Perodua Kelisa berwarna perak diparkir berhampiran dalam keadaan mencurigakan, namun hanya menganggap ia milik pengunjung inap desa di sebelah rumahnya.
Christopher berkata menurut salah seorang penduduk taman, remaja OKU berkenaan dilihat masuk ke dalam kereta Perodua Kelisa itu secara rela dan tidak menunjukkan sebarang tanda dipaksa, menyebabkan penduduk tersebut menyangka kereta itu milik saudara-mara mangsa.
Menyedari kehilangan anak gadisnya, pengadu membuat laporan di Balai Polis Batang Tiga pada pukul 9.38 malam tadi.
“Ibunya memaklumkan anaknya itu mempunyai kebolehan bertutur yang sangat terhad dan hanya memahami perkataan-perkataan mudah. Dia juga sukar didekati serta tidak mempunyai kawan rapat.
“Menurut pengadu, anaknya sering ke taman permainan tersebut untuk bermain buaian dan sebelum ini tidak pernah gagal pulang ke rumah tepat pada waktunya,” katanya.
Christopher berkata gadis OKU itu mempunyai ketinggian kira-kira 145 sentimeter, bertubuh kurus, berkulit sawo matang serta berambut panjang paras bahu dan sedikit ikal dengan kali terakhir dia dilihat memakai baju T berwarna hijau dan seluar panjang hitam.
Beliau berkata pegawai penyiasat telah ke lokasi kejadian dan berjaya mendapatkan rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) untuk mengesan pergerakan kereta Perodua Kelisa tersebut.
“Usaha mengesan pemilik kenderaan dan mencari mangsa masih giat dijalankan,” katanya. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.